Malaysia Dateline

Dua kluster baharu di Sarawak libatkan sekolah

Dua kluster yang baharu diisyitihar oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak semalam adalah melibatkan dua buah sekolah di kawasan terbabit.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN)Sarawak, sekolah berkenaan ialah dalam kawasan Jalan Roban Lama di Saratok dan Jalan Selirik Kapit.

“Kedua-dua kluster ini dikenali sebagai Kluster Jalan Roban Lama dan Jalan Selirik yang melibat dua sekolah di kawasan tersebut,” jelas JPBN dalam satu kenyataan.

JPBN menambah, Kluster Jalan Roban Lama melibatkan sekolah menengah tingkatan enam yang dikesan melalui saringan bersasar di Pejabat Kesihatan Bahagian Betong.

Tegas JPBN seramai 40 individu telah didapati reaktif Rapid Test Kits (RTK) Antigen dalam saringan yang dilakukan itu.

“Hasil saringan ulangan menggunakan ujian rT-PCR, didapati seramai 13 orang daripada mereka telah dikesan positif pada 22 April lalu.

“Punca jangkitan adalah daripada komuniti yang merebak ke sekolah berkenaan menerusi kontak rapat di kalangan kakitangan dan pelajar sekolah tersebut dan seramai 294 individu telah disaring,” kata JPBN.

Maklum JPBN lagi, hasil daripada saringan itu seramai 48 dikesan positif termasuk kes indeks manakala 241 negatif dan lima masih menunggu keputusan makmal.

Sementara itu, kata JPBN, kesemua 48 kes yang didapati positif telah dirujuk ke Hospital Saratok dan telah dimasukkan ke PKRC Betong bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut.

Bagi Kluster Jalan Selirik di Kapit pula, JPBN menjelaskan kes melibatkan sebuah Sekolah Menengah di Jalan Selirik.

“Indeks kes kepada kluster ini adalah seorang pelajar asrama sekolah terbabit yang berumur 15 tahun yang dikesan melalui saringan individu bergejala pada 12 April lalu.

“Jangkitan berlaku melalui aktiviti gotong-royong yang telah dijalankan pada 4 April di asrama sekolah serta pergaulan rapat antara pelajar dan kakitangan sekolah.

“108 individu telah disaring dan 23 dikesan positif termasuk kes indeks dan 85 lagi masih menunggu keputusan makmal,” tambah JPBN.