Malaysia Dateline

Dua lagi kes orang disyaki COVID-19 direkod di Sarawak

Dua lagi kes baharu orang disyaki COVID-19 direkodkan di Sarawak semalam iaitu masing-masingnya satu di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan Hospital Sibu.

Menerusi kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Negeri Sarawak, dengan kes baharu itu, ia menjadikan jumlah kes orang disyaki meningkat kepada 112 di negeri ini sejak 10 Januari lalu.

Jelasnya, daripada jumlah tersebut, 110 kes terbukti negatif ketika ujian makmal manakala baki dua kes merupakan dua kes baharu yang melibatkan kedua-duanya warga Malaysia.

“Untuk rekod, kesemua 112 kes telah melibatkan 88 warga Malaysia, 21 kes warganegara China dan masing-masing seorang Indonesia, Thailand dan Kanada.

“Oleh demikian, Jabatan Kesihatan telah mengimbas seramai 14,649 orang kedatangan dalam negeri sehingga semalam.

“Ini sekali gus menjadikan jumlah kedatangan yang diimbas di semua pintu masuk negeri adalah 194,904 sejak 1 Januari lalu,” ujar kenyataan itu.