Malaysia Dateline

Dua lagi mangsa COVID-19 diragut di Sarawak

Sarawak terus mencatat jumlah tertinggi kematian akibat COVID-19 di negara ini apabila dua lagi mangsa dilapor meninggal dunia, menjadikan lima kematian hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, mangsa keempat merupakan seorang lelaki berumur 49 tahun dan anak kepada mangsa kematian COVID-19 Sarawak yang kedua lalu.

Kata kenyataan itu, kes berkenaan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 18 Mac 2020 dan disahkan positif COVID-19 pada 20 Mac 2020 serta telah telah meninggal dunia pada 23 Mac 2020.

“Manakala mangsa kelima pula merupakan perempuan berumur 51 tahun yang berasal dari Limbang.

“Kes merupakan kontak rapat kepada seorang jemaah tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling dan mula menunjukkan gejala pada 14 Macc 2020 serta dirujukkan ke Hospital Limbang sebelum dipindahkan ke Hospital Miri pada hari yang sama,” ujar kenyataan itu di Kuching hari ini.

Kenyataan itu memberitahu, kes telah disahkan positif COVID-19 pada 16 Mac 2020 dan telah meninggal dunia pada 23 Mac 2020.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak menyeru semua rakyat di negeri ini patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan memberi kerjasama penuh kepada agensi-agensi kerajaan dalam menjalankan tugas mereka.

Tegasnya, setiap orang hendaklah memainkan peranan masing-masing dalam membendung wabak penyakit ini.

Pada masa sama, Sarawak hari ini turut mencatatkan pertambahan enam kes baharu positif COVID-19, menjadikan jumlah bilangan kes di Sarawak sebanyak 82 kes sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac 2020.

Kesemua kes baharu tersebut disaring atau dirawat di Hospital Umum Sarawak.

“Pada hari ini, sebanyak 32 kes baharu orang disyaki jangkitan COVID-19 yang dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 827 kes.

“Daripada jumlah itu, 718 kes adalah negatif dan 27 kes orang disyaki masih menunggu keputusan makmal,” tambah kenyataan itu lagi.