Dua lagi pesakit Orang Asli dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu

Dua lagi pesakit Orang Asli dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu

Dua lagi pesakit Orang Asli yang berasal dari Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu di Kuala Berang semalam kerana mengalami simptom jangkitan saluran pernafasan.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohd Jusoh berkata ini menjadikan jumlah keseluruhan pesakit Orang Asli yang menerima rawatan di hospital itu ketika ini seramai 12 orang.

“Pesakit pertama ialah wanita berusia 32 tahun yang telah diperiksa oleh pasukan kesihatan daerah dan dirujuk ke Hospital Hulu Terengganu untuk mendapatkan rawatan susulan manakala seorang lagi adalah lelaki berumur 22 tahun yang telah datang sendiri ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Kedua- dua mereka kini berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rabu lepas, lapan pesakit Orang Asli yang berasal dari Kuala Koh, Gua Musang, dimasukkan ke hospital itu di mana tujuh daripadanya mengalami simptom jangkitan saluran pernafasan manakala seorang lagi kerana mengalami cirit-birit, sakit perut serta muntah dan sedang menerima rawatan sebagai pesakit Acute Gastroenteritis (AGE).

Kemudian, dua lagi pesakit Orang Asli dari Kampung Sungai Berua pula dimasukkan ke hospital tersebut pada Jumaat dan Isnin lepas kerana mengalami simptom yang sama.

Dr Mohd berkata kesemua mereka yang dimasukkan ke hospital itu berumur antara empat dan 29 tahun terdiri daripada lapan lelaki dan empat perempuan.

Mengulas lanjut, Dr Mohd berkata jumlah keseluruhan pesakit yang positif campak (measles) kekal sebanyak tujuh orang.

“Ketika ini, tindakan pemantauan dilaksanakan secara harian oleh kakitangan pasukan perubatan Klinik Kesihatan Tengkawang dan pasukan kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Terengganu bagi mengesan kes baharu.

“Semburan disinfeksi juga telah dilakukan di rumah Orang Asli di Kampung Sungai Berua. Kita juga sedang mempertingkatkan usaha untuk melengkapkan profil penduduk, mengenal pasti status imunisasi dan tahap pemakanan penduduk terutama kanak-kanak di perkampungan ini,” katanya.

Penyakit campak dalam kalangan Orang Asli di Terengganu adalah terkawal dan orang ramai diminta untuk tidak khuatir mengenai kejadian yang sedang berlaku, katanya.

Terengganu mempunyai empat perkampungan Orang Asli di tiga daerah iaitu dua di Hulu Terengganu manakala yang lainnya di Besut dan Kemaman.

— BERNAMA