Seorang wanita yang sedang melalui jejantas Keretapi Tanah Melayu (KTM), Serdang berdepan dengan detik cemas apabila dihampiri oleh lelaki tidak dikenali.
Malang tidak berbau, mangsa yang ingin pulang ke rumah dari tempat kerjanya itu malah diperkosa dan disamun oleh seorang lelaki warga Pakistan di jejantas tersebut.
Wanita berusia 29 tahun itu kemudian tampil membuat laporan sebelum pihak polis berjaya menahan suspek hasil penelitian atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan, mangsa baharu seminggu bekerja sebagai jurujual sambilan di sebuah pusat beli belah di Putrajaya.
Kejadian berlaku pada pukul 12.40 tengah malam, Ahad lalu ketika wanita itu melalui jejantas dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Dagang, Sungai Besi.
Siasatan polis mendapati, suspek akan membawa pin di mana mangsa diminta untuk menggunakannya bagi membuka tempat meletak kad sim sebelum membuangnya.
Mangsa kemudian akan diberikan arahan untuk set semula (reset) telefon bimbit itu terlebih dahulu sebelum suspek menyamun peranti berkenaan, lapor Harian Metro.
“Mangsa mendakwa telah dihampiri lelaki tidak dikenali di atas jejantas berkenaan sebelum dirogol dan telefon bimbitnya juga disamun, selain turut diacukan pisau.
“Hasil siasatan dan penelitian rakaman CCTV di lokasi berhampiran, polis menahan seorang lelaki warga Pakistan yang disyaki terbabit dalam kejadian berkenaan,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Suspek yang merupakan lelaki berusia 23 tahun itu ditahan di sebuah kondominium di Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan, kira-kira pukul 8.30 malam, Isnin lalu.
Hal ini kerana, kelibatnya melarikan diri selepas melakukan jenayah tersebut dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi berhampiran dengan tempat kejadian.
Pihak polis turut menahan seorang lagi rakan senegaranya berusia 29 tahun kerana dipercayai rakan sejenayah dalam satu lagi kejadian samun pada 30 Disember lalu.
Jelas AA Anbalagan, kejadian samun itu telah menyebabkan seorang wanita berusia 20 tahun kerugian dua telefon bimbit dan juga mengalami kecederaan di jari kanan.
Kedua-dua suspek tidak bekerja dan semakan mendapati suspek pertama masuk ke negara sejak Ogos tahun lalu manakala suspek kedua sudah enam bulan berada di negara ini.
Suspek juga mengaku terbabit dalam kedua-dua kejadian terbabit dan kes disiasat mengikut 392/397 Kanun Keseksaan, Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Difahamkan, suspek yang terlibat dalam kes ini bakal direman oleh pihak polis selama tujuh hari bermula daripada kelmarin sehingga 22 Januari ini bagi membantu siasatan.
“Polis meminta orang awam yang pernah menjadi mangsa samun kepada suspek ini untuk membuat laporan polis dan sekiranya mempunyai maklumat mengenai individu yang mencurigakan boleh maklumkan kepada kami.” Ulasnya.