Malaysia Dateline

Dua mangsa banjir positif Covid-19 dipindahkan

Dua mangsa banjir yang positif Covid-19 dipindahkan dari pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Chiku 7, di Gua Musang ke hospital bagi rawatan lanjut tengah hari tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kelantan daerah Gua Musang, Mohd Yussalmi Mohd Yusoff, berkata kedua-dua pesakit terbabit sebelum ini ditempatkan di PPS tersebut dan diasingkan daripada mangsa banjir yang lain.

Menurut beliau, pasukannya telah menggunakan bot untuk membawa keluar pesakit dari PPS sebelum diserahkan kepada Hospital Gua Musang, lapor Bernama.

Yussalmi memberitahu, pihaknya telah mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika kerja membawa mangsa positif Covid-19 terbabit dengan memakai pakaian serta peralatan perlindungan diri (PPE).

Jelasnya lagi, keadaan kedua-dua mangsa ketika dibawa keluar dari PPS adalah sihat.