Malaysia Dateline

Dua maut selepas helikopter bertembung

Dua maut selepas sebuah helikopter berwarna biru terhempas di Taman Melawati di Ampang menjelang tengah hari tadi apabila bertembung di udara dengan sebuah helikopter lain.

Dua mangsa lagi dalam sebuah helikopter berwarna merah selamat mendarat berhampiran padang Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Taman Melawati iaitu kira-kira 300 meter dari lokasi helikopter biru.

Astro Awani melaporkan juruterbang bagi helikopter berwarna merah itu ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sistem Penerbangan Malaysia (MAS), Datuk Ahmad Jauhari Yahya yang juga Presiden My Heli Club.

Seorang lagi terselamat ialah Tan Chai Elan, 51. Mangsa yang maut adalah Mohd Sabri Baharon, 56, dan Mohd Irfan Mohamed Rawi, 44.

Sehingga jam 2 petang, kedua-dua jenazah belum tiba lagi di Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Penguasa Bomba Zulfikar Jaffar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.46 pagi tadi.

“Berdasarkan maklumat awal, kemalangan membabitkan dua helikopter bertembung dan terhempas.

“Terdapat empat mangsa termasuk seorang wanita. Dua mangsa lelaki tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia.

“Dua mangsa selamat selepas membuat pendaratan cemas di kawasan sekolah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, seorang saksi yang merupakan penduduk tempatan, Jefry Rizal memberitahu terdengar beberapa kali dentuman sebelum dilihat berpusing-pusing di udara.

Kedua-dua helikopter milik My Heli Club itu terbang dari Subang dan dijadualkan patut mendarat di Genting Sempah.