Malaysia Dateline

Dua maut, seorang parah bas ekspres terbabas

Dua maut manakala seorang cedera parah apabila sebuah bas ekspres terbabas dan melanggar tebing di Km 422.5 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Bukit Tagar-Bukit Beruntung awal pagi tadi.

Mereka yang maut dikenal pasti sebagai pemandu bas, M. Arasu, 47 dan seorang penumpang wanita warga Indonesia, Masenah, 46, manakala yang cedera parah pula ialah seorang lagi penumpang wanita Fadhilah Khodip.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt. R. Supramaniam berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5 pagi ketika bas yang membawa 24 penumpang itu dalam perjalanan dari Kangar, Perlis ke Johor Bahru, Johor.

Bas itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan serta melanggar tebing secara mengiring, katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata bas itu mempunyai dua pemandu namun ketika kejadian dipercayai dipandu Arasu.

Siasatan awal polis mendapati Arasu mempunyai tiga rekod kesalahan pandu laju, katanya menambah kes disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bernama difahamkan seorang lagi pemandu dan 22 penumpang lain tidak mengalami sebarang kecederaan dan mereka meneruskan perjalanan ke Johor Bahru menaiki bas gantian.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 5 pagi dan tiba di lokasi setengah jam kemudian.

Seramai 15 anggota dari pos kawalan bomba Tol Rawang serta Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu terlibat dalam operasi itu, katanya.