Dua maut tertimbus tanah runtuh di Cameron Highlands

Oleh NASUHA RAHMAN

Dua maut di dalam insiden tanah runtuh di laluan KM34 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley, menghala ke Cameron Highlands pada malam Khamis.

Seorang pemandu lori berusia 31 tahun dan seorang lagi pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire.

Difahamkan, mayat mangsa pertama yang dikenali sebagai Muhammad Hafiz Hamdi ditemui kira-kira jam 8 malam Khamis beliau berasal dari Tanjung Piandang, Parit Buntar, Perak.

Mangsa dilaporkan dalam perjalanan dari Cameron Highland ke Ipoh dengan membawa muatan sayur.

Pemandu Vellfire dijumpai pada 9.30 malam tadi, tidak jauh dari lori dipandu mangsa pertama yang ditemui maut. Setakat ini tidak diketahui identiti mangsa yang dipercayai berasal dari Klang, Selangor.

Mangsa kedua itu dipercayai dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan menuju ke Pulau Pinang. Hanya seorang mangsa terlibat dalam MPV tersebut.

Insiden yang berlaku jam 1.41 petang semalam menyebabkan jalan ke Cameron Highlands ditutup kepada semua kenderaan disebabkan kesan runtuhan tanah yang menutup kira-kira 100 meter jalan.

Pasukan penyelamat menggunakan dua jengkaut untuk mengorek tanah di lokasi kejadian dan setakat ni cuma seorang mangsa dilaporkan maut.

Bantuan daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) digunakan untuk membuat rondaan udara menggunakan dron.