Dua mayat lemas di Tok Bali ditemui di Tak Bai, Thailand

Oleh HAZAYANI ZAKARIA

Dua pelajar lemas yang hilang hampir seminggu dibawa arus ketika mandi di Pantai Tok Bali, Pasir Puteh ditemui di Pantai Tak Bai, Narathiwat Thailand.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr. Ab. Rahman Ismail berkata, setakat ini tanda-tanda indentiti kedua-dua mangsa sudah dikenal pasti dan proses pengecaman akan dibuat keluarga masing-masing.

Mayat Amir Azfar Rafa, 13, dijumpai terdampar oleh penduduk kampung di pantai berkenaan kira-kira pukul 9.30 malam tadi.

Sementara mayat kedua, Ahmad Haziem Anizam, 14, dijumpai pada pukul 10.30 pagi semalam.

Jarak antara kedua-dua mayat yang dijumpai lebih kurang lima kilometer.

Jarak antara Pantai Tok Bali dengan Pantai Tak Bai kira-kira 90 kilometer.

Kedua-dua mayat kemudian dibawa ke Hospital Narathiwat, Thailand untuk proses pengecaman kedua-dua keluarga yang terlibat.

Di Pengkalan Kubor, Adun Kelaboran, Zaki Ibrahim turut membantu keluarga mangsa menyeberangi sempadan untuk membuat pengecaman mayat.

Beliau kelihatan mendapatkan kemudahan dari pihak-pihak berkuasa Malaysia-Thailand bagi memudahkan urusan.