Malaysia Dateline

Dua Menteri dituntut perjelas isu sindiket daging tak halal

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub mendesak Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee untuk segera memberi penjelasan berhubung pembongkaran sindiket penipuan daging halal di Johor.

Kiandee dan Zulkifli dituntut berikan penjelasan.

Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata, perkara itu juga perlu dijawab oleh Menteri di jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang diselar terus membisu dari memberi sebarang penjelasan.

Menurutnya, apa yang berlaku jelas membangkitkan persoalan berkenaan integriti agensi terbabit dalam pembangunan industri halal negara.

“Kebobrokan ini harus dijawab oleh Menteri Agama yang masih menikus daripada memberikan penjelasan berhubungan penyalahgunaan kuasa di peringkat JAKIM yang menguruskan pengeluaran sijil halal.

“Janganlah membiarkan slogan Melayu Islam hanya tinggal sebagai retorik untuk memperdaya masyakarat dan meraih undi menjelang pilihanraya.

“Saya mendesak pihak berautoriti untuk mengenakan hukuman setimpal ke atas penjenayah yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, laporan muka depan BH mendedahkan, kartel yang mendalangi penyeludupan daging import dari negara sumber tidak sah, termasuk diragui status halal dan kualitinya, dipercayai ‘membeli’ beberapa kakitangan kerajaan.

Modus operandi itu antara lain mengupah pegawai kanan agensi tertentu bagi melepasi pemeriksaan di pintu masuk negara.

Wang ringgit dan habuan berlibur dikatakan diguna bagi merasuah pegawai terbabit sebagai dorongan melepaskan barangan yang diimport, tanpa mengikut peraturan ke pasaran negara ini.

Sementara itu Salahuddin menegaskan, kerajaan perlu mengambil serius isu keselamatan makanan dengan memperhalusi, memantau dan menilai garis panduan kemasukan makanan untuk memastikan setiap makanan yang dipasarkan selamat dan mengikut ketetapan.

Beliau berkata, kerajaan perlu lebih proaktif dalam menggali lubang rasuah dan salah laku yang membarah di dalam agensi kerajaan untuk memastikan kejadian yang sama tidak berulang kembali.

Tambahnya, Perikatan Nasional yang didominasi oleh parti Melayu Islam harus mencerminkan kesungguhan dalam menjaga kebajikan dan kepentingan Muslim.