Malaysia Dateline

Dua minggu lagi diketahui punca 36 kerbau ‘Mowgli’ mati bergelimpangan

Tidak pernah Muhammad Syukur Khamis, 15, atau lebih dikenali sebagai ‘Mowgli Malaysia’ dan keluarganya alami sepanjang menternak kerbau sejak 50 tahun lalu.

Mereka sejak Rabu lalu dikejutkan dengan kematian 36 kerbau peliharaan di Kampung Banggol Katong, Serada, di Kuala Terengganu secara berperingkat.

Sehingga tengah hari ini, kira-kira 36 ekor kerbau mati dengan 11 ekor daripadanya ditemui mati bergelimpangan pagi ini, melibatkan kerugian lebih RM200,000.

Difahamkan, punca kematian kerbau berkenaan dipercayai akibat penyakit hawar berdarah. Bagaimanapun keputusan ke atas pemeriksaan punca kematian ternakan itu akan diperolehi dua minggu lagi.

Syukur ketika ditemui berkata, kejadian itu mula disedari dengan kematian seekor kerbau peliharaannya disusuli beberapa ekor lagi.

“Pada mulanya saya ingatkan ternakan saya hanya mengalami keracunan atau penyakit biasa, tapi jadi semakin pelik sebab ia makin bertambah, termasuk 11 ekor pada hari ini sahaja.

“Melihatkan keadaan kerbau yang ada, ada lebih lima ekor yang dalam keadaan tidak sihat dan mungkin akan mati kerana sebab yang sama.

“Kerbau kesayangan saya iaitu Samek dan Along setakat ini masih dalam keadaan baik dan sudah disuntik vaksin pencegahan,” lapor Sinar Harian hari ini.

Sementara itu, ayahnya, Khamis Jusoh, 64, berkata, kejadian itu amat menyedihkan mereka sekeluarga memandangkan terlalu banyak kerbau yang mati.

“Kalau diikutkan seekor kerbau berharga antara RM3,000 ke RM7,000. Kerugian dianggarkan lebih RM200,000,” katanya.

Jelas Khamis lagi, kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu sudah datang dan membuat siasatan punca kematian semua kerbau itu pada hari Sabtu dan Ahad.