Malaysia Dateline

Dua minggu lagi pindaan akta pemandu mabuk ke Kabinet

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan memberitahu cadangan kerajaan untuk meminda undang-undang mengenai pemandu mabuk akan dibawa ke Kabinet selewat-lewatnya dua minggu lagi.

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan

“Akta ini di bawah Kementerian Pengangkutan dan kita terlibat juga dalam memberikan input.

“Apa yang penting kita cari suatu pendekatan berkesan bukan saja atasi kemalangan maut sebab pemandu mabuk tetapi juga ke arah membendung pemanduan mabuk yang boleh mengelakkan kemalangan maut.

“Ini sebagai langkah pencegahan kita,” katanya yang juga ahli Parlimen Kota Bharu kepada pemberita sejurus lawatan kerja ke Kompleks Mahkamah Kota Bharu, di Tunjong, Kota Bharu, hari ini.

Semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), Pas lantang mendesak supaya hukuman lebih berat dikenakan kepada pemandu mabuk yang terlibat dalam kemalangan maut.

Bagaimanapun Pas yang sudah berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat membisu untuk berbuat demikian.

Bahkan, Pemuda Pas menyatakan penjualan arak dibenarkan mengikut hukum Islam mengikut nisbah bukan Islam sekali gus bercanggah dengan sikap parti itu yang memperjuangkan pengharaman penjualan arak.

Dalam masa sama, kedai serbaneka 24 jam pada 1 Jun lalu didapati telah memohon sejumlah 45 lesen menjual minuman keras di serata Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur termasuk di kawasan majoriti komuniti Muslim.