Dua nelayan Sekinchan dibebaskan Indonesia bukan kerana PRK, kata BN

Dua nelayan Sekinchan dibebaskan Indonesia bukan kerana PRK, kata BN

Walaupun mengakui dua nelayan dari Sekinchan yang dibebaskan pihak berkuasa Indonesia setelah ditahan di Batam sejak Mac lalu tiada kena mengena dengan kempen pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar, MCA mengambil kesempatan mengecam Ahli Dewan Negeri (Adun) DAP Sekinchan kerana didakwa tidak prihatin dengan nasib nelayan terbabit.

Dua nelayan dari Sekinchan yang dibebaskan ialah Chua Lee Teck dan Heng Chee Yong. Turut dibebaskan dua lagi nelayan dari Pontian, Mohd Surya Rahman dan Ahmad Nadzhan Mohd Nazhri.

Menurut Pengerusi BN Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos empat nelayan yang dibebaskan hari ini telah mendapat pengampunan daripada Presiden Indonesia.

“Malam tadi saya dimaklumkan oleh Timbalan Perdana Menteri empat nelayan ini telah mendapat pengampunan Presiden Indonesia yang mana dua daripadanya adalah nelayan dari Sekinchan.

“Hari ini urusan dokumentasi sedang dilakukan untuk membawa pulang empat nelayan tersebut dari Batam ke Tanjung Pinang.

“Mereka dijangka akan kembali kepangkuan keluarga selewatnya petang ini atau esok.

“Perkara ini berlaku bukan disebabkan PRK. Kita dah mula pada menguruskan masalah tahanan ini sejak bulan Mac apabila persatuan nelayan dari Sekinchan melakukan demo di kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur.

“BN juga pernah pergi ke Batam dan Tanjung Pinang membawa keluarga dua nelayan dari Sekinchan ini untuk bertemu denegan keluarganya,” ujarnya dalam sidang media diadakan pagi tadi.

Empat nelayan yang dibebaskan hari ini adalah antara tujuh telah yang ditahan miritim Indonesia.

Tiga lagi nelayan dari Pontian telah dibebaskan pada 24 Mei lalu iaitu Mohd Salleh Rahman, Mohd Sani Mohd Sohod dan Norul Azhar Mohd Nor.

Daam sidang akhbar yang sama Ketua Pemuda MCA Bahagian Sungai Besar Ng Boon Keong turut melahirkan rasa kesalnya apabila Adun Sekinchan Ng Suee Lim tidak langsung perihatin tentang nasib nelayan di Sekinchan yang telah ditahan pada Mac lalu.

“Dia langsung tidak turun padang membantu keluarga nelayan. Bukan itu sahaja dia pernah kata masalah nelayan ini masalah kerajaan pusat.

“Kita nak tanya pengundi di Sekinchan, jika mereka masih lagi mahu undi calon DAP sebagai wakil rakyat mereka.

“Kami dari MCA dan Gerakan dalam BN turut sama membantu memastikan nelayan-nelayan yang ditahan ini dibebaskan.

“Dia boleh tunggu seorang artis dari Taiwan di KLIA datang ke Sekinchan tapi dia langsung tak boleh datang ke rumah keluarga nelayan-nelayan ini,” ujarnya dalam sidang media diadakan.

Bagi memastikan bot-bot nelayan tidak melanggari kawasan persempadanan lautan kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telahpun memberikan secara percuma peralatan mengukur jarak perbatuan bagi mengelakkan berlaku pencerobohan persempadanan oleh bot-bot nelayan dari Malaysia.

COMMENTS

Wordpress (0)