Malaysia Dateline

Dua NGO giat laksana program kebajikan di Sarawak

Dua badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Ruhama dan Jalinan Harapan Baharu telah bergabung tenaga dalam melaksanakan program masyarakat di Sarawak.

Menurut Wakil Ruhama, Mohamad Fidzuan Zaidi, program kebajikan yang dilaksanakan itu adalah bertujuan meringankan beban kepada keluarga yang dikuarantin di rumah selepas salah seorang daripadanya didapati positif Covid-19.

Katanya, sumbangan adalah berbentuk makanan mentah seperti ayam, ikan dan sayur bagi keperluan keluarga berkenaan memandangkan mereka tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang kuarantin dilaksanakan.

“Setakat ini, kita fokus membantu keluarga-keluarga yang dikuarantin di rumah kerana salah seorang daripada keluarga mereka didapati positif Covid-19.

“Semoga dengan bantuan yang disampaikan itu berupaya meringankan beban bagi keluarga yang menerima sepanjang menjalani kuarantin di rumah.

Mohamad Fidzuan menambah, program sumbangan itu akan diteruskan dari masa ke semasa di seluruh Sarawak lebih-lebih lagi selepas kebenaran rentas daerah dibenarkan.

Jelas beliau lagi , sebelum ini sumbangan hanya dihantar kepada para penerima di sekitar Kuching dan Samarahan selain beberapa kampung atau kawasan yang dikenakan Perintah Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD).

“Justeru, saya berharap selepas ini program sumbangan akan diperluaskan di bahagian lain seperti Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu sehingga ke Lawas.

“Semoga dengan program ini juga, kita sebagai NGO dapat berjumpa dengan seluruh masyarakat di negeri ini tanpa mengira etnik, agama dan budaya,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jalinan Harapan Baharu, Mohd Zen Peli berkata, sebelum ini pihaknya telah mengadakan beberapa aktiviti kebajikan dan masyarakat , namun akibat pelaksanaan rentas zon yang dikuatkuasakan sejak tahun lalu menyebabkan program berkenaan agak perlahan.

“Ya…beberapa program untuk ke daerah lain kita terpaksa tangguh sebelum ini. Tetapi selepas ini, kita yakin akan bergerak semula untuk menyantuni penduduk dan masyarakat yang kurang berkemampuan bagi menerima bantuan.

Tambah Mohd Zen, selain barangan mentah pihak turut menyampaikan sumbangan lain berupa makanan asas serta pakaian terpakai kepada mereka yang memerlukan.

“Sebenanya sumbangan ini datangnya daripada rakan-rakan dalam NGO Jalinan Harapan Baharu serta individu-individu yang mahu kami menyampaikan kepada keluarga yang memerlukan,” kata beliau.