Malaysia Dateline

Dua pekerja kedai makan di KL positif Covid-19

Dua kes jangkitan Covid-19 dalam negara yang dikesan di kalangan bukan warganegara di Wilayah Persekutuan antara 25 kes baharu yang dilaporkan hari ini.

“Kedua-dua kes ini adalah saringan rawak di tempat kerja oleh Pejabat Kesihatan Daerah di mana ianya telah melibatkan pekerja kedai makan,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Mengulas notis penutupan kedai makan tersebut yang tular di media sosial, beliau berkata, pihak Pejabat Kesihatan Daerah akan menjalankan pengesanan secara aktif bagi siasatan lanjut termasuk mengambil persampelan.

“Kedai makan tersebut (di Setapak) telah ditutup buat sementara waktu bagi tujuan pembersihan dan nyahkuman,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Daripada jumlah 25 kes baharu itu, jelasnya, 16 kes import dan sembilan kes penularan tempatan.

Selain dua kes membabitkan pekerja di sebuah restoran di Setapak, kes penularan tempatan membabitkan enam kes adalah daripada Kluster Tawar dan satu kes melalui saringan prapembedahan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di negara ini sebanyak 9,200 kes dan bilangan kes aktif dengan kebolehjangkitan di negara ini mencecah 216 kes.

“Sehingga kini terdapat tujuh kes menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dan dua kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya lagi.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sehingga jam 12 tengah hari ini, terdapat 28 kes pulih menjadikan jumlah kes pulih Covid-19 di negara ini sebanyak 8,859 kes atau 96.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau memaklumkan tiada pertambahan kes kematian dilaporkan dan jumlahnya kekal 125 kes bersamaan 1.36 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.