Malaysia Dateline

Dua pelajar maut bukan kerana vaksin Covid-19

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid menafikan dakwaan kononnya dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai di Ipoh meninggal dunia disebabkan vaksin Covid-19.

Beliau menegaskan maklumat yang tular di media sosial itu sebagai tidak benar dan cukup mengelirukan.

Jelasnya, memang terdapat dua pelajar sekolah tersebut meninggal dunia tetapi bukan disebabkan oleh vaksin Covid-19.

Tegasnya, kedua-dua insiden tersebut tiada kena mengena dengan vaksin memandangkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja hanya bermula pada 20 September lalu.

Menurutnya, seorang pelajar perempuan yang memang sedia ada penyakit diabetes dan darah tinggi yang kronik meninggal dunia disebabkan positif Covid-19 pada 18 Julai lalu.

Pelajar tersebut, katanya dipetik Awani, sudah dua bulan kritikal di Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Mior memberitahu pada 17 September lalu, seorang pelajar lelaki pula meninggal dunia tetapi disebabkan sakit jantung.

Sehubungan itu, katanya, pihak polis akan menjalankan siasatan berhubung video yang tular itu.