Dua pelajar perempuan gaduh sebab tak puas hati meja kena conteng

Oleh KIM SYAZIE

Susulan kes membabitkan dua pelajar perempuan bertelingkah sehingga terjadi adegan sepak menyepak, polis memaklumkan punca kejadian telah dikenalpasti.

Pergaduhan dua pelajar itu berpunca daripada rasa tidak puas hati kerana salah seorang daripada mereka menconteng meja di dalam kelas.

Menurut kenyataan polis, dua pelajar tersebut merupakan pelajar sekolah menengah di Kluang, Johor bergaduh di Stadium Taman Kluang Barat.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, kejadian itu berlaku ketika pelajar terbabit sedang melakukan aktiviti sukan di stadium berkenaan.

Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 2.15 petang itu, dapat dilihat seorang pelajar perempuan sedang menyepak seorang lagi pelajar sambil dikerumun para pelajar lain.

Turut dapat didengari, suara seorang lagi pelajar perempuan yang sedang menjerit seolah-oleh sedang menahan kesakitan akibat daripada disepak.

“Kejadian tersebut melibatkan dua pelajar perempuan berusia 15 tahun, siasatan awal berpunca daripada rasa tidak puas hati,” katanya dalam satu kenyataan.

“Salah seorang pelajar disyaki menconteng meja belajar dalam kelas pada sebelah pagi membawa kepada pergaduhan di stadium tersebut,” tambahnya memetik dari Kosmo!

Pada semalam, tular satu klip video durasi 39 saat memaparkan pergaduhan dua pelajar dipercayai dirakam pelajar lain yang turut berada di lokasi kejadian.

Rakaman tersebut memaparkan seorang pelajar bertudung hitam menyepak kepala dan bahagian badan seorang lagi pelajar yang memakai pakaian sukan berbaju biru hingga mencetuskan pergaduhan.