Malaysia Dateline

Dua pemimpin utama pengganas maut dalam serangan udara di Sinai Utara: tentera Mesir

Tentera Mesir telah membunuh dua pemimpin utama pengganas dalam satu serangan udara di wilayah Sinai Utara, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan tentera pada Ahad.

Jurucakap angkatan tentera Mesir Tamer al-Refaie berkata kedua-dua lelaki terbunuh dalam serangan udara yang menyasarkan sebuah tempat persembunyian pengganas.

Menurut kenyataan itu, serangan dilakukan susulan pengesahan maklumat perisikan bahawa terdapat elemen pengganas berkumpul di lokasi yang disyaki menjadi tempat persembunyian kumpulan pengganas.

Bagaimanapun, jurucakap itu tidak menyebut nama pengganas yang terbunuh.

Minggu lepas, pihak berkuasa Mesir mengumumkan kejayaan membunuh sejumlah 64 pengganas semasa kempen antikeganasan di seluruh negara itu.

Keganasan mula berkembang di Mesir susulan pengusiran bekas Presiden Islam Mohamed Morsi pada Julai 2013 sebagai respons kepada tunjuk perasaan besar-besaran terhadap pemerintahannya selama setahun dan gerakan Ikhwanul Muslimin pimpinan beliau yang kini telah diharamkan.

Serangan ganas itu secara beransur-ansur telah menular dari Sinai Utara ke wilayah lain, termasuk ibu kota Kaherah, dan mula menyasarkan golongan minoriti Kristian Koptik menerusi pengeboman gereja serta insiden tembakan.

— BERNAMA