Dua PRK saat terbaik mansuh GST – Pemuda Amanah

Oleh HUSIN MAHAT

Pengundi di kawasan parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar perlu menyampaikan mesej jelas kepada kerajaan BN bagi memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dengan menolak calon-calon BN pilihan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pilihan raya kecil (PRK) esok.

Sany HamzanKetua Pemuda Amanah Nasional, Sany Hamzan berkata, sudah sampai masanya untuk pentadbiran Najib memansuhkan GST memandangkan trend kenaikan harga minyak dunia.

“Laporan ekonomi oleh MIDF, sebuah institusi bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia telah menyasarkan harga minyak stabil dengan purata USD55 setong hingga akhir tahun hadapan. Ini jauh mengatasi nilai sandaran yang digunakan untuk pengubahsuaian bajet 2016 iaitu sebanyak USD30-USD35 setong.

“Bermakna kerajaan BN akan mendapat hasil cukai minyak yang jauh melebihi daripada apa yang mereka jangkakan. Sehubungan itu, Pemuda Amanah menggesa supaya kerajaan BN memansuhkan GST untuk mengurangkan beban rakyat yang semakin tertekan dengan pelbagai kenaikan harga barang, peningkatan kos sara hidup, dan juga penguncupan nilai ringgit,” ujarnya dalam satu kenyataan media.

Menurut Sany, jika MIDF sendiri menyatakan bahawa kadar GST boleh diturunkan sehingga 4% ditambah dengan disiplin urus tadbir baik, Pemuda Amanah yakin GST boleh dimansuhkan.

Pemansuhan GST, tambah beliau bukan sahaja dapat membantu meringankan beban rakyat, malah dapat menjadi pemangkin stimulus fiskal dengan meningkatkan aktiviti ekonomi domestik negara di kala kadar aktiviti ekonomi dunia yang semakin perlahan.

“Memansuhkan GST bukanlah sesuatu yang mustahil. Setidak-tidaknya kita boleh bermula seperti UK yang pernah mengurangkan kadar VAT/GST sebanyak 2.5% pada 2008.

“Ireland pula pernah mengurangkannya pada tahun 1985, 1991, dan 2001. Kerajaan pimpinan Najib Tun Razak harus menginsafi bahawa rakyat kini semakin susah,” ujarnya.

Beliau turut mengulas pendedahan penggunaan jet peribadi oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor untuk ke Istanbul baru-baru ini yang jelas menghiris hati rakyat dengan kos sewaan jet peribadi dianggar mencecah RM86.4 juta.

Sany juga kesal kerana majoriti pemimpin BN mempertahankan perbelanjaan boros ini.

“Ada yang mengatakan bahawa sebagai isteri Perdana Menteri, Rosmah berhak untuk menggunakannya. Ada pula yang mengatakan bahawa bukan wang rakyat yang digunakan untuk menanggung perbelanjaan ini, tetapi wang kerajaan.

“Tidakkah mereka sedar bahawa wang kerajaan ini diambil daripada kutipan cukai yang datang daripada kerahan titik peluh rakyat? Adakah patut rakyat berdiam diri dan hanya berpeluk tubuh mengiyakan tindakan boros kerajaan BN?” soal beliau.

Sehubungan itu, Pemuda Amanah tegasnya menggesa rakyat di Sungai Besar dan Kuala Kangsar menunjukkan bantahan dan memberikan tekanan kepada kerajaan BN untuk memansuhkan GST.

Ini katanya hanya boleh dilakukan dengan mengundi parti yang bersungguh-sungguh menentang korupsi dan keboroson BN bukannya ‘parti penasihat’ yang terus bertoleransi dengan kebejatan urustadbir kerajaan pimpinan Najib Razak.