Dua projek ‘Gajah Putih’ rugikan orang Melayu di Pulau Pinang

Dua projek ‘Gajah Putih’ rugikan orang Melayu di Pulau Pinang

Dakwaan pimpinan Umno dan BN bahawa mereka memperjuangkan nasib peniaga Melayu sebenarnya bukanlah suatu kebenaran sebaliknya hanya gimik yang digunakan sebagai propaganda untuk mendapat sokongan semata-mata.

Buktinya amat jelas apabila terdapat kompleks dan bazar  perniagaan yang dibina oleh pihak kerajaan bagi menempatkan peniaga Melayu, sebaliknya mati ditengah jalan.

Ini dapat dibuktikan apabila Kompleks Bagan di Jalan Bagan Luar, Butterworth yang dimiliki oleh JKP Sdn Bhd milik kerajaan persekutuan tidak berfungsi.

Malah bangunan yang dulunya menjadi kemegahan peniaga Melayu kini suram dan tidak lagi dapat dibanggakan kecuali terbiar dan sepi.

Mohd Ismail Jalal KhanDemikian diluahkan oleh mantan Ketua Wira Perkasa, Parlimen Bagan, Mohd Ismail Jalal Khan.

Beliau yang juga merupakan mantan Ahli Jawatankuasa Wira Perkasa Negeri Pulau Pinang dan lantang bersuara menentang kepimpinan Umno turut berkata, kompleks yang terbiar ini sepatutnya dibangunkan semula oleh kerajaan melalui beberapa alternatif.

“Bangunan ini berada ditengah bandar Butterworth dan boleh memberi peluang yang baik kepada orang Melayu untuk meneruskan perniagaan.

“Dahulu ia juga menjadi Pejabat Imigresen dan pusat perniagaan peniaga kecil, tetapi kini dibiarkan sehingga menjadi tempat terbiar dan menyakitkan mana memandang.

“Sepatutnya pimpinan Umno Bahagian dan Pulau Pinang mengambil inisiatif bagi menghidupkan semula kompleks ini dengan memberi wajah baru serta mengenakan kadar sewa yang munasabah bagi memberi peluang peniaga kecil untuk berniaga, ” jelasnya.

Namun begitu, katanya tiada langsung usaha yang diambil oleh mana-mana pimpinan Umno di Pulau Pinang bagi memberi nafas baru, agar kompleks yang menjadi gajah putih sejak puluhan tahun yang lalu itu boleh dimanfaatkan untuk orang Melayu dan peniaga kecil.

Tegasnya lagi, begitu juga dengan  Bazar Perdana di Bandar Perda, Bukit Mertajam yang telah siap sejak 2004 lagi.

Sebaliknya ia telah menjadi projek gajah putih yang merugikan lebih 800 peniaga Melayu yang mengharapkan bangunan tersebut dapat dimanfaatkan apabila ia beroperasi.

“Yang lebih menghairankan bagaimana bangunan yang tersergam indah dan megah ini telah didakwa tidak selamat untuk diduduki sebelum ini sehingga merugikan ramai peniaga.

“Pelbagai aduan dan laporan telah pun dibuat termasuk kepada SPRM oleh individu dan juga pertubuhan yang ada supaya dapat menyiasat bagaimana bangunan yang tidak selamat diluluskan untuk diduduki sebelum ini.

“Akibatnya peniaga menanggung kerugian apabila ada antara mereka yang menghabiskan wang pencen dan juga simpanan KWSP mereka bagi membeli bangunan ini untuk dijalankan perniagaan, ” ujarnya lagi.

{loadposition myposition} Ekoran kegagalan tersebut ramai peniaga Melayu terpaksa gulung tikar dan berhutang pada institusi kewangan.

Oleh kerana itu katanya, Umno Negeri Pulau Pinang sepatutnya mengambil tindakan segera dengan membantu peniaga-peniaga yang telah menjadi mangsa supaya bangunan yang ada ini dapat digunakan sepenuhnya sebelum menjelangnya pilihan raya umum akan datang.

“Janganlah hanya berjanji akan membantu mereka, sejak masalah ini berlanjutan lebih 10 tahun yang lalu.

“Akhirnya tiada mana-mana pihak yang mampu untuk menyelesaikan masalah ini sehinggalah Bazar Perdana ini dapat beroperasi sepenuhnya.

“Tunaikan janji untuk menjadikan pusat ini sebagai pasar dan juga kompleks perniagaan yang mampu menjana ekonomi peniaga kecil Melayu setelah lebih 800 yang membela unit niaga di sini adalah peniaga Melayu, ” tambahnya lagi.

CATEGORIES
TAGS