Dua syarikat buat pelaburan ekuiti dalam OWNDAYS di Jepun

Dua syarikat buat pelaburan ekuiti dalam OWNDAYS di Jepun

Jenama cermin mata di Jepun, OWNDAYS Inc memeterai perjanjian dengan L Catterton Asia (LCA) dan Mitsui & Co., Principal Investments Ltd (MCPI) berhubung peruntukan saham pihak ketiga berjumlah tiga bilion yen. (100 yen = RM3.67)

Di bawah perjanjian itu, pemindahan sebahagian saham akan turut dipegang oleh kumpulan pengurusan semasa OWNDAYS.

Menurut satu kenyataan, ia merupakan pelaburan pertama LCA dalam syarikat Jepun.

Kumpulan pengurusan yang diketuai oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Shuji Tanaka akan terus memegang kepentingan utama untuk menguruskan syarikat itu.

Jenama cermin mata yang kini memiliki 275 kedai di seluruh dunia itu menyasarkan untuk menjadi penggiat runcit optik terkemuka di Jepun dan seluruh Asia dengan mempunyai lebih 500 kedai dalam tempoh lima tahun akan datang.

Dengan lebih US$15 bilion modal ekuiti dalam enam strategi dana di 17 pejabat di seluruh dunia, LCA merupakan syarikat ekuiti swasta yang terbesar dan berteraskan pengguna paling global di dunia.

MCPI yang ditubuhkan pada Mei 2003 merupakan cabang ekuiti swasta yang disokong oleh kumpulan Mitsui & Co. Ia menjalankan pelaburan ekuiti swasta di Jepun dan di luar negara dengan menyediakan sokongan pengurusan untuk meningkatkan nilai korporat.

— BERNAMA