Malaysia Dateline

Dua tahun penentu bagi pembangkang

Pas dan Umno masing-masing ada dua tahun, untuk bekerja keras menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam tempoh ini juga.

Sekiranya gagal, mereka akan lebih sukar untuk menewaskan PH, kerana perubahan yang dilaksana kerajaan PH sejak 9 Mei 2018, akan mula terlihat hasil selepas dua tahun, kita lihat banyak reform dilakukan dalam banyak jabatan sama ada dalam kementerian mahupun agensi. Namun perubahan itu tidak akan terlihat hasil segera, maka dua tahun pertama merupakan “ancaman” pada PH dan “peluang” kepada Pas dan Umno.

Ramai tidak sedar bahawa pada 9 Mei lalu, Malaysia telah alami peralihan kuasa yang cukup besar, iaitu berjaya menumbangkan sebuah kerajaan yang berkuasa selama lebih 60 tahun dan tidak sebagaimana negara lain, kesan buruk peralihan ini tidak berlaku, negara tidak menjadi huru-hara dan akhirnya pentadbiran lama kembali menguasai.

Apa yang terjadi dalam kontek Malaysia, walaupun perubahan kerajaan berlaku buat kali pertama selepas lebih separuh abad, tidak berlaku lagi kekecohan mahupun huru hara besar berlaku yang boleh mengkhianati pilihan rakyat pada 9 Mei lalu.

Perkara ini, ternyata sebenarnya diketahui oleh Pas dan Umno, mereka tahu masa mereka adalah terhad, iaitu difasa dua tahun pertama peralihan, dimana perubahan drastik pentadbiran baru tidak dapat dilihat,namun sekiranya pentadbiran PH memasuki tahun ketiga, rakyat rata-rata akan melihat dan merasai perubahan sebenar, oleh kerana itu, sepanjang jangka masa perubahan kerajaan ini, kita lihat ada hasutan hasutan halus untuk menimbulkan keresahan dan kebangkitan rakyat melalui propaganda perkauman dan keagamaan.

Parti pembangkang cuba mengambarkan hak rakyat majoriti bakal terhapus setelah PH mengambil alih, dari tohmahan penghapusan Jakim sehinggalah isu ICERD, mereka berterusan membina ketakutan rakyat, dan Himpunan TOLAK ICERD yang dijadual awal Disember nanti boleh jadi merupakan pertaruhan pertama mereka untuk menjatuhkan kerajaan PH.

Namun, tindakan Kabinet yang mengeluarkan keputusan untuk Malaysia tidak meratifikasi ICERD minggu lalu boleh disifatkan sebagai langkah “potong stim” himpunan ini. Semangat berkobar-kobar mereka untuk berhimpun agar kerajaan menolak ratifikasi ICERD memakan diri, sikap angkuh untuk menerima kenyataan awal pimpinan PH yang telah pun bersetuju menolak atau sekurangnya memangguhkan ratifikasi akhirnya menyebabkan pihak penganjur tersepit.

Para ahli akademik, dan sekurangnya lima orang mufti telah mengeluarkan pandangan untuk penganjur tidak teruskan, tapi mana mungkin ia tidak diteruskan, kerana himpunan ini bukan sekadar baju yang telah dicetak mahupun bas yang telah ditempah, tapi pertaruhan pertama mereka untuk menjatuhkan kerajaan PH, adalah tidak lojik jika alasan baju dan bas yang ditempah sebagai alasan himpunan diteruskan.

Sejauh mana parti pembangkang mampu menjatuhkan pentadbiran PH dalam tempoh dua tahun ini adalah bergantung kepada setakat mana moral dan akhlak mereka boleh direndahkan.

Sekiranya mereka masih tergamak memainkan isu perkauman dan keagamaan, yang mana berisiko hancurkan keharmonian negara, maka tidak mustahil mereka mampu mempengaruhi sebilangan besar rakyat terutama berbangsa Melayu untuk melakukan rusuhan dalam negara, seruan seruan “jihad” telahpun berlegar di media sosial dengan kempen yang cukup tersusun walaupun poster tidak bertanda nama sumber.

Bagaimana pentadbiran PH harus respons?

Belajar dari Himpunan Bersih, Bersih yang paling terkesan adalah Bersih 1 dan 2 di mana kekerasan digunakan terhadap peserta yang akhirnya menyebabkan berlaku pergelutan, simpati masyarakat samada tempatan dan dunia subur kepada peserta himpunan, namun bagi Bersih 3-5, kerjasama yang baik dari pihak berkuasa menyebabkan himpunan berjaya namun simpati masyarakat tidak sebagaimana berlakunya kekerasan.

Pas dan Umno boleh teruskan berhimpun, andai tiada kekacauan yang diharapkan mampu mencemar nama kerajaan, maka mereka gagal, jika berlaku kekacauan dan huru-hara namun tiada kekerasan dari pihak berkuasa, mereka tetap akan dilihat gagal dan rakyat umumnya akan menilai mereka sebagai pembawa huru hara.

Mereka hanya boleh dikira berjaya jika PM kemudian bubar parlimen selepas mereka berhimpun, adakah itu akan berlaku? Tidak juga. Jadi himpunan ini sebenarnya telah gagal sejak kerajaan menolak untuk meratifkasi ICERD.

Apapun Himpunan ini akan menjadi titik kepada Pas dan Umno, sama ada ia titik permulaan atau titik penamat, lihatlah pada masanya nanti.