Malaysia Dateline

Dua tapak pelupusan sampah baharu bakal dibina di Sabah

Kerajaan negeri akan membina dua tapak pelupusan sampah baharu, masing-masing di Kota Marudu dan Semporna sebagai antara langkah mitigasi ke arah memantapkan lagi sistem pengurusan sisa pepejal di Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong.

Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata kementeriannya turut akan membeli dua mesin ‘Eco-Waste Composter’ untuk mengurangkan jumlah sampah dihantar ke kawasan pelupusan sampah.

“Pengurusan sisa pepejal suatu perkara kompleks dan kritikal, tambahan pula proses perbandaran dan migrasi penduduk luar bandar ke bandar yang berterusan menyumbang kepada isu ini,” katanya ketika sesi penggulungan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Jaujan berkata pengasingan sisa pepejal di punca adalah antara langkah terbaik dalam mengurangkan jumlah sampah dihantar ke pusat pelupusan, sekali gus mengurangkan kos operasi kerana menerusi kaedah itu sampah akan diasingkan mengikut kategori, boleh dikitar semula dan tidak boleh dikitar semula.

Justeru, beliau menggesa rakyat Sabah memulakan pengasingan sisa di punca dalam usaha membantu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mewujudkan keadaan persekitaran lebih bersih dan sejahtera.

Mengenai pembangunan pekan baharu di Sabah, Jaujan berkata kementeriannya sudah mengenal pasti tanah seluas 153.7 hektar sebagai tapak cadangan pekan baharu Paginatan di Ranau.

Beliau berkata Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah diminta menyediakan pelan pekan baharu berkenaan.

Sementara itu, Jaujan berkata tanah seluas 404.6 hektar dikenal pasti untuk pembangunan pekan baharu Kalabakan di Tawau, dan Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah bersama jabatan berkaitan sedang merancang program pembangunan pekan baharu kawasan tersebut.

“Sebagai permulaan, LPPB akan membangunkan kawasan seluas 12.1 hektar sebagai pemangkin kepada pembangunan pekan baharu Kalabakan,” katanya.

Beliau berkata LPPB akan memulakan kerja-kerja infrastruktur termasuk menyediakan tapak tamu bagi memberi peluang kepada masyarakat setempat memulakan aktiviti sosioekonomi di pekan baharu itu.

LPPB telah merancang pewujudan lebih kurang 69 pekan baharu di seluruh negeri sejak 1980, katanya.

— BERNAMA