Dua tiga kerat ahli Biro Politik PKR gemar beri gambaran salah kepada media

Dua tiga kerat ahli Biro Politik PKR gemar beri gambaran salah kepada media

Naib presiden PKR Rafizi Ramli kesal kerana segelintir pemimpin parti itu sering memberikan maklumat salah kepada media atas nama ‘sumber dalaman parti’ untuk memastikan pandangan mereka diambil sebagai pandangan umum, walaupun ia bertentangan dengan perbincangan atau keputusan sebenar Biro Politik atau Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu.

Rafizi mengakui dihubungi bertalu-talu oleh wakil media ekoran laporan yang disiarkan Sinchew Daily kononnya beliau diberi amaran keras oleh Biro Politik kerana memburukkan nama baik parti dan akan dipecat dari PKR jika terus bersuara.

“Berita itu ditulis berdasarkan satu sumber dari Biro Politik yang tidak dinamakan.

“Saya ingin mengesahkan bahawa tidak ada sebarang keputusan Biro Politik yang begitu. Saya tidak diberi sebarang amaran oleh sesiapa dan tiada sebarang keputusan mengenai tindakan tatatertib dibuat oleh Biro Politik. Sudah tentu berita yang saya boleh dipecat juga direka-reka.

“Semua ini telah disahkan oleh Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution Ismail,” jelas ahli parlimen Pandan itu.

{loadposition myposition}

Rafizi bagaimanapun mengakui tidak terkejut dengan apa yang berlaku kerana beberapa kali sebelum ini keadaan yang sama berlaku setiap kali wujud perbezaan pendapat yang ketara di dalam kepimpinan PKR tentang beberapa isu.

“Ada beberapa orang pimpinan Keadilan (PKR) yang gemar memberikan gambaran yang salah kepada pihak media dengan berselindung di sebalik nama ‘sumber dalaman parti’ untuk memastikan pandangan mereka diambil sebagai pandangan umum, walaupun itu bertentangan dengan perbincangan atau keputusan sebenar Biro Politik atau Majlis Pimpinan Pusat (MPP),” katanya.

Perkara ini, ujarnya pernah berlaku semasa pelantikan menteri besar Selangor menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim, apabila berita-berita yang tidak sahih terus dibekalkan kepada pengamal media yang jelas memusuhi PKR seperti Jocelyn Tan dari The Star.

Menurutnya, walaupun mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat pada waktu itu secara jelas memutuskan hanya satu calon untuk jawatan Menteri Besar iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, ada sahaja berita-berita dari sumber tidak rasmi kononnya wujud keputusan yang berbeza.

Perkara yang sama, tambah beliau berlaku menjelang pilihan raya negeri (PRN) Sarawak apabila ada segelintir ahli Biro Politik yang menghantar mesej berlainan kepada pemimpin PKR di Sarawak sedangkan Biro Politik berkali-kali memutuskan untuk mempertahankan perjanjian pembahagian kerusi yang telah dipersetujui di peringkat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

“Berita ini akhirnya sampai kembali kepada saya sebagai Setiausaha Agung (pada waktu itu) apabila mereka (pimpinan akar umbi) mahu mengesahkan berita itu,” ujarnya.

Menurut Rafizi, selagi dua tiga orang ahli Biro Politik yang tidak berdisiplin ini memberikan maklumat yang salah kepada pihak media dan anggota parti, keadaan akan terus bercelaru.

Oleh sebab itu beliau mengambil keputusan (sejurus selepas PRN Sarawak dan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar) untuk memanfaatkan masa yang ada untuk berkempen di kerusi-kerusi marginal berbanding cuba membetulkan maklumat yang salah yang disebarkan secara berterusan oleh dua tiga orang ahli Biro Politik PKR tersebut.

“Sebelum ini, saya mengambil keputusan untuk berdiam diri agar perkara ini tidak sampai ke pihak media tatkala pimpinan-pimpinan yang sama sedang mengusahakan perbincangan dengan Pas.

“Untuk tidak terus bertembung akibat maklumat yang salah disebarkan, saya mengambil keputusan lebih baik tidak turut serta di dalam mesyuarat Biro Politik untuk mengurangkan kebarangkalian saya terpaksa membetulkan versi keputusan Biro Politik yang kerapnya diberikan tafsiran berbeza,” ujarnya.

CATEGORIES
TAGS