Malaysia Dateline

Dua tuntutan BN: Najib ulangi amaran kepada PN

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pagi ini dilihat mengulangi ‘amaran’ kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) susulan kelulusan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021.

Dipercayai kata dua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) itu berkaitan tuntutan pengeluaran one-off hingga RM10,000 daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), selain lanjutan tempoh moratorium.

Never mind. Jika PN tak sudi tunai, BN buat. Simple,” katanya ringkas dalam Facebook sebentar tadi.

Lewat petang semalam, Najib dalam reaksinya berhubung Belanjawan 2021 menegaskan bahawa BN “masih berpeluang untuk membuat sesuatu kelak” jika kedua-dua tuntutan tersebut tidak dipenuhi kerajaan PN.

“Saya dan kami akan terus menuntut kerajaan PN untuk tepati janji mereka sehingga kedua-dua isu ini diselesaikan sebaiknya.

“Kerajaan PN juga memberitahu kita bahawa mereka masih akan berusaha untuk memperbaiki kedua-dua perkara ini.

“Jika hasrat kami masih tidak tercapai dan kami masih rasa tertipu selepas satu tempoh masa yang munasabah maka BN masih berpeluang untuk membuat sesuatu kelak,” tegasnya.

Najib yang masih berhadapan dua perbicaraan kes berprofil tinggi membabitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu juga menjelaskan sebab BN tidak menolak Belanjawan 2021 semalam.

Mengakui kedua-dua tuntutan BN sebelum ini masih belum sempurna ditunaikan, katanya, BN tidak menolak belanjawan tersebut memandangkan hanya tinggal dua minggu lagi sebelum melangkah ke tahun baharu 2021.

Jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan semalam, kata Ahli Parlimen Pekan itu, kerajaan berdepan masalah untuk berfungsi dalam tempoh dua minggu lagi.

“Perbelanjaan kerajaan akan berjalan mengikut bajet. Jika bajet digagalkan sekarang, kerajaan tidak ada masa lagi untuk perbetulkannya.

“Dalam isu pengeluaran akaun 1 KWSP, perlu ingat bahawa BN telah perjuangkan dari tidak diberi langsung sebelum Belanjawan 2021 ke 600,000 orang diberi ke 2 juta orang diberi dan akhirnya ke 8 juta ahli yang layak sekarang.

“Kategori 1 sudah elok. Kini cuma tinggal kategori 2 untuk ditambah baik.

“Dalam isu lanjutan moratorium pula, kita fight dari tiada moratorium ditambah sebelum bajet ke moratorium diberi cuma kepada golongan B40.

“Akhirnya ke kelulusan automatik diberi tanpa dokumen kepada sesiapa dari golongan B40, M40 dan perniagaan kecil sederhana yang memohon,” jelasnya.

Sehubungan itu, Najib menafikan BN memberi harapan palsu kepada orang ramai yang meminta kerana terdapat perkembangan kemajuan dalam kedua-dua tuntutan tersebut.

“Namun, masih ada kekurangan dari segi implementasi dari bank-bank yang degil,” tegas Najib lagi.