Dua urus niaga LTAT dijalankan tanpa mengikut piawaian

Dua urus niaga LTAT dijalankan tanpa mengikut piawaian
(dari kiri) Mohamad Sabu, , Nik Amlizan Mohamed dan Liew Chin Tong pada sidaang media di lobi Parlimen hari ini.

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) hari ini mendedahkan, hasil penemuan pihak Jabatan Audit Negara (JAN) dalam laporan kewangan 2017 LTAT, mendapati dua urus niaga dijalankan tanpa mematuhi piawaian pelaporan kewangan.

Ketua Eksekutif LTAT, Nik Amlizan Mohamed berkata, penemuan JAN itu adalah mengenai dua transaksi iaitu yang pertama membabitkan penjualan pembangunan harta tanah yang sepatutnya tidak boleh ambil kira pada 2017 berjumlah sebanyak RM202.71 juta.

Beliau menjelaskan, transaksi itu tidak boleh diambil kira kerana kriteria pengiktirafan pendapatan itu, tidak memenuhi piawaian laporan kewangan 118 seperti yang telah disebut oleh pihak JAN.

Katanya, ini adalah kerana syarat penjualan tanah tersebut belum dipenuhi dan penjualan tersebut juga belum dimuktamadkan.

“Pendapatan sebenarnya juga tidak boleh diambil kira dan kemerosotan nilai terhadap dua saham sekuriti yang tersedia untuk dijual iaitu Saham Dayang dan Sapura Energy adalah sebanyak RM88.9 juta juga tidak diambil kira bagi tahun 2017.

“Nilai saksama dua saham berkenaan adalah sebanyak RM18.46 juta berbanding dengan kos pembelian iaitu sebanyak RM107.36 juta.

“Ini memberi kesan terhadap laporan kewangan 2017 di mana pada akhir 2017, keuntungan terkumpul yang sebelum ini dibuat pengumuman sebanyak RM259.99 juta, sebenarnya adalah kerugian terkumpul sebanyak RM31.6 juta.

“Pendapatan yang saya sebut sebelum ini, iaitu daripada penjualan tanah di Jalan Cochrane dan Bukit Jalil telah diambil kira sebagai pendapatan bagi tahun 2017 dan juga ketika membuat pengiraan dividen 2017 yang telah diisytiharkan pada 22 Mac lalu.

“Oleh sebab itu, kami perlu mengemas kini semula laporan kewangan 2017 dan juga 2018 yang akan mengambil sedikit masa kerana kami ingin menentukan akaun tersebut tepat, supaya kita dapat menerus dan menentukan bahawa bila kami membuat pengumuman laporan kewangan 2018 dan juga pengumuman dividen ianya tepat sekali gus memberi gambaran sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di lobi Parlimen hari ini, yang turut dihadiri Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Timbalannya, Senator Liew Chin Tong.

Dalam perkembangan sama, ketika ditanya pemberita siapa pihak yang bertanggungjawab dalam isu ini, Nik Amlizan berpendapat, pihak pengurusan terdahulu tidak memperkenalkan dasar dan garis panduan terbaik.

“Kalau dilihat pada sijil audit berteguran, terdapat kesilapan, iaitu tidak mematuhi garis panduan piawaian laporan kewangan. Bila saya masuk, saya mendapati tiada garis panduan untuk menentukan sama ada proses itu boleh mengenal pasti pendapatan atau tidak.

“Buat masa ini, kami sedang menjalani penstrukturan semula dan pada masa sama untuk mengenalkan garis panduan lebih tepat supaya kesilapan atau ketidakpatuhan piawaian tidak berlaku kembali di masa hadapan.

“Untuk pengetahuan, pengurusan baharu memandang serius terhadap ketidakpatuhan piawaian tersebut dan kami perlu memastikan masalah tersebut tidak akan berulang lagi,” katanya.