Malaysia Dateline

Dua wajah antara peralihan dan pengekalan kuasa

Dua wacana sedang bergerak dalam isu peralihan kuasa antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden PKR dan ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menjadi pertikaian, pertama Anwar PM menjadi pelan peralihan kuasa dan kedua Dr Mahathir kekal sebagai PM sehingga habis penggal sehingga pembubaran parlimen akan datang.

Walaupun Dr Mahathir telah berulang kali menyatakan hasratnya untuk berundur daripada jawatan perdana menteri pada November ini, selepas Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di Kuala Lumpur namun spekulasi terus bertiup apabila terdapat laporan mendakwa sesetengah pihak dalam PH dan Umno mahu Mahathir – yang juga pengerusi Bersatu – menamatkan penggalnya bagi pilihan raya ke-15.

Memandangkan wacana yang sedang berlaku, saya kira terdapat dua wajah peralihan sebagaimana diterangkan di atas. Jika diikuti wacana pertama, ia adalah pelan realiti semasa mengikuti tarikh yang akan ditetapkan oleh Majlis Presiden. Ini adalah realiti pelan peralihan kuasa, Tetapi jika kita kepada wacana kedua yang giatkan dikembang dan dikompangkan, wacana ini diwajahkan sebagai citra atau imej. Ia ternyata amat ceria di media sosial.

Di satu pihak realiti peralihan kuasa, di pihak lain, ada citra pengekalan kuasa. Ketika realiti peralihan kuasa berjalan seiring dengan citra peralihan kuasa, Anwar jadi PM dan wacana di media sosial juga  majoritinya membincangkan perkara yang sama maka terbentuk pelan peralihan kuasa yang sempurna.

Tetapi ketika citra peralihan kuasa tidak seiring kerana wujudnya citra pengekalan kuasa maka terbentuk pelan peralihan kuasa yang tidak sempurna. Akan tetapi lebh buruk lagi, jika citra peralihan kuasa telah terputus sama sekali dengan realiti pelan peralihan kuasa maka terbentuklah apa yang saya namakan pasca pelan peralihan kuasa iaitu pengekalan kuasa.

Ini adalah wacana melampau, pengawajahan pengekalan kuasa  yang berlangsung pada peringkat citra, akan tetapi buruknya telah terlepas daripada realiti peralihan kuasa, terputus daripada realiti peralihan yang dipersetujui oleh parti-parti dalam Pakata Harapan.

Apa yang menjadi citra ialah  sesetengah pihak mendakwa terdapat anggota parlimen pembangkang dan PH berpakat untuk sokongan kepada Dr Mahathir mengekalkan kuasa sebagai PM. .

Pada masa sama Pas menggerakkan usaha membawa usul menyokong Mahathir pada sidang Dewan Rakyat akan datang, dijadual berlangsung bulan depan.

Sarawak Report minggu lalu mendakwa anggota parlimen Umno, Pas, Bersatu dan segelintir daripada PKR yang memihak kepada Timbalan Presiden PKR Azmin Ali digesa datang ke Kuala Lumpur bagi menandatangani akuan berkanun (SD) menyokong kepimpinan Mahathir sehingga habis penggal.

Memetik sumber, laman pembocor maklumat itu melaporkan mereka diminta berbuat demikian dalam tempoh 48 jam.

Sarawak Report juga memetik “khabar angin” bahawa ia akan dibawa untuk sokongan Yang di-Pertuan Agong jika berjaya memperoleh bilangan cukup.

Bagaimanapun, menteri kabinet Zuraida Kamaruddin, yang juga penyokong kuat Azmin dalam PKR, menafikan laporan itu. Walaupun ia dinafikan apakah kesannya.

Pertama, pasca peralihan kuasa pada tahap citra iaitu keadaan ketika wacana pengekalan kuasa dibangunkan pada tahap  citra telah terputus daripada realiti peralihan kuasa yang dirancangkan. Maksudnya perancang pengekalan kuasa ingin menjadikan realiti peralihan kuasa sebagai yang diistilah sebagai `simulakrum’ iaitu pelan peralihan kuasa yang ditampilkan dirinya sebagai sesuatu pada tingkat citra atau bayangan sahaja, tidak lagi real, benar atau realiti.

Akhirnya realiti peralihan kuasa yang berada pada tingkat citra (tahap media sosial) harus bergelut dengan citra pelan pengekalan kuasa yang cuba direalitikan.

Wacana pelan pengekalan kuasa pada tahap citra (bayangan itu) ingin merampas realiti pelan peralinan kuasa cuba ditampilkan dengan rasionalnya seakan-akan realiti, suatu salinan realiti, padahal citra ini sesungguh penuh dengan penyimpangan, manipulasi, kepalsuan bahkan sememang terputus dari realiti.

Pelan pencitraan pengekalan kuasa ditampilkan lewat media baharu, dengan PAS dan kumpulan tertentu UMNO merancang pembentukan kerajaan bayangan atau citra Pakatan Nasional dan kemudiannya PAS, sebuah parti pembangkang akan membawa ‘usul undi percaya’ dalam Dewan Rakyat bagi menyokong agar Dr Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga habis penggal.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengumumkannya  dalam sidang media bersama selepas diputuskan dalam mesyuarat bulanan parti itu di ibu pejabat Pas, Kuala Lumpur.

Keberlangsungan persengketaan antara dua situasi sekarang akan membentuk ketidakberaturan, kerancuan, kekaburan dan ketidakpastian yang akan mewarnai dalam kehidupan bernegara dan berbangsa dan pepecahan.

Dalam hal ini, kita juga tidak mahu negara digerakkan oleh pergolakan politik yang tidak beraturan dan berpusaran, tidak ingin wacana politik yang seolah-olah bergerak tanpa arah; wacana ekonomi yang terhenti dihantui oleh turun naik antara wacana peralihan dan pengekalan kuasa, wacana sosial dan budaya yang berada dalam situasi ketidakpastian nilai.

Apa yang dibimbangi jika wujud dua wacana yang saling bergeseran hegemoni, memungkinkan  keadaan pergolakan politik yang tidak terkendali, proses demokrasi akan berkembang ke arah yang melampaui realiti, iaitu prinsip dan semangat demokrasi itu sendiri akan menuju ke arah kebuntuan dalam sistem politik, kebingungan dan kebimbangan sistem ekonomi untuk bertahan dan  menarik pelabur.

Oleh itu sejauh manakah ruang publik dapat digerakkan supaya proses peralihan kuasa dapat berjalan lancar. Haruskah kita kepada Pelan B  yang disarankan oleh Bekas bendahari PKR, William Leong yang berkata sekarang adalah masa untuk menggunakan “pelan B” bagi memastikan Anwar diangkat sebagai PM ke-8.

“Ini masa untuk pelan B dikeluarkan, suara rakyat itu penting, kita nakkan pandangan awam, ia adalah tekanan pandangan untuk kerajaan kembali kepada landasan,” katanya.

*Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)