Dua wakil Dun BN bertemu Presiden Warisan

Datuk Harmisa Samat dan Datuk Abdul Muis Picho

Keadaan politik di Sabah semakin panas apabila Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah hadir ke kediaman Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), DatuK Seri Mohd Shafie Apdal, di sini, hari ini.

Dua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) berkenaan – Adun Sebatik, Datuk Abdul Muis Picho dan Adun Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat tiba di kediaman Mohd Shafie tengah hari tadi dan meninggalkan tempat itu sejam kemudian.

Bagaimanapun, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan berhubung tujuan kedua-dua wakil rakyat itu mengadakan pertemuan tertutup dengan Mohd Shafie.

Difahamkan, Abdul Muis dan Hamisa menuju ke Istana Negeri selepas bertemu Mohd Shafie.

Drama politik di Sabah semakin menarik selepas Pengerusi BN Sabah, Tan Sri Musa Aman, sudah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di Istana Negeri semalam.

Semalam, Pemangku Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau umum parti itu keluar daripada BN dan akan mewujudkan kerajaan campuran dengan Parti Warisan Sabah.

Bagaimanapun, lima Adun  dari parti UPKO itu- Ewon Benedict (Kadamaian), Datuk Abidin Madingkir (Paginatan), Datuk Bobbey Ah Fan Suan (Nabawan), Datuk Masiung Banah(Kuamut) dan Datuk Limus Jury (Kuala Penyu) menyatakan mahu kekal bersama BN.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Rabu lalu, Warisan memenangi 21 kerusi Dun  manakala PKR dan DAP masing-masing dua dan enam kerusi.

BN pula menang 29 kerusi Dun dan Parti Solidariti Anak Negeri (Star) menyandang dua kerusi.