Duduk dapur pun sempat melaram, ramai kagum tengok ‘skill’ kakak ini menyiang ikan

Oleh WAN SITI AMINAH

Satu rakaman memaparkan aksi seorang wanita yang sedang menyiang ikan telah berjaya mengundang perbincangan hangat di media sosial.

Mana tidaknya, wanita itu tampil menggayakan busana berwarna merah keemasan yang sarat dengan hiasan batu permata sambil menyiang berpuluh-puluh ekor ikan.

Rakaman tersebut dimuat naik oleh suaminya iaitu personaliti media sosial sensasi, Prince Syed Shahid menerusi satu hantaran di akaun TikTok miliknya, baru-baru ini.

Menurut Syed, mereka baru pulang daripada satu majlis dan isterinya iaitu Fatin terus menyiang ikan tersebut untuk membuat kuah laksa tanpa menukar baju dahulu.

Difahamkan, perniagaan laksa merupakan salah satu daripada punca pendapatan pasangan berkenaan selain pekerjaan Syed yang mengambil upah menjahit pakaian.

“Isteri saya si Fatin ini memang jenis tak pernah kenal erti penat. Baru balik dari satu majlis, terus siang ikan tanpa salin baju. Terima kasih sebab pakai baju yang Abang jahit hari-hari.

“Hebat isteri Abang ini. Terima kasih Sayang sebab bersama-sama mencari rezeki. Isteri tugasnya memasak laksa viral kami ini. Selebihnya, saya pula yang akan urus perniagaan.

@syed.fatin.jaeden.haifa

Wife sy si Fatin ni memang jenis tak pernah kenal erti penat , baru balik dari event terus siang ikan tanpa salin baju , tq pakai baju yg abng jahit hari2, Hebat isteri abng ni , terima kasih syg sebab bersama sama mencari rezeki , wife sy tugasnya memasak Laksa Viral kami ni , selebihnya sy pulak yg akan urus untuk perniagaan kami ni , kami gerak bersama sama , sebab tu sy sanggup buat macam2 untuk isteri sy , syukur sangat ROYAL LAKSA makin dikenali dan ramai suka masakan air tangan wife sy

♬ original sound – Prince Syed Fatin Jaeden Haifa – Prince Syed Fatin Jaeden Haifa

“Kami bergerak bersama-sama. Sebab itu saya sanggup buat macam-macam untuk isteri. Syukur sangat laksa kami semakin dikenali dan ramai suka masakan air tangan isteri,” katanya.

Rakaman Fatin yang sedang menyiang ikan itu telah berjaya meraih hampir satu juta tontonan dalam tempoh satu hari dan menerima pelbagai reaksi oleh pelayar TikTok.

Tinjauan di ruangan komen mendapati, rata-rata pengguna mengagumi kemahiran Fatin yang begitu tangkas menyiang ikan dengan hanya menggunakan gunting sahaja.

Ramai juga individu turut meluahkan rasa senang dengan sikap Syahid yang menghargai sumbangan isterinya selain sanggup ‘menyiapkan’ wanita itu setiap hari.

“Betul-betul handal dia ini buat kerja. Tengok dia siang ikan nampak senang sahaja. Bagus isteri Syed,” kata seorang pengguna yang kagum melihat ketangkasan Fatin.

“Kalau suami aku puji seperti ini hari-hari, busana Cinderella pun aku sanggup pakai untuk siang ikan itu.” Seloroh pengguna lain yang meninggalkan komen mencuit hati.

Baca juga: Selalu ‘update’ video gembira di media sosial, Adira akui tak mahu jejas emosi anak dengan kesedihan