Isu cop parkir ini bukanlah sesuatu yang baru malah sudah menjadi masalah utama di kawasan perumahan flat dan pastinya timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk.
Masalah ini sudah menjadi kebiasaan namun masih menimbulkan kemarahan penduduk lain kerana tiada istilah cop parkir jika anda tidak membayar parkir tersebut.
Dalam satu gambar yang tular di Facebook, seorang penduduk dan pemilik motor mengarahkan tuan empunya kereta untuk mengalihkan kenderaan kerana parkir tersebut didakwa adalah miliknya.
“Maaf sila alihkan kereta, saya letak motor sebab itu parkir saya,” tulis surat yang ditampal pada kenderaan tersebut.
Gambar yang dimuat naik di Facebook Penang Press itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang berkongsi perihal sama berlaku di kawasan mereka.
Seorang pengguna Facebook, Sheikh Nueqs membidas pemilik rumah flat yang berada di tingkat bawah sekali kerana selalunya mereka akan berfikir bahawa parkir di depan rumah itu adalah hak milik mereka.
“Majoriti yang duduk rumah flat seluruh Malaysia ini, mereka ingat jika beli rumah di tingkat bawah maka depan rumah itu adalah parkir mereka.
“Tidak pun penduduk yang sudah duduk lama disitu, senang je main ‘booking’ parkir.
“Mungkin sebelum meninggal nanti boleh pesan pada jiran, ‘jangan bantu saya kalau saya meninggal, biar saya urus sendiri’,” komennya dalam nada memerli.
Bab parkir dah satu hal, belum lagi melibatkan isu kerosakan lif apabila ada individu bertindak merosakkan harta benda awam yang sering digunakan.
Tambah pengguna Facebook lain, Suhaida Ariffin meluahkan rasa kesal apabila banyak kes mengenai lif rosak yang menyusahkan pemilik rumah yang berada di tingkat lebih tinggi.
“Tinggal dekat flat, tapi ada hati nak tempat letak kenderaan persendirian macam duduk kondominium.
“Itu belum masuk bab lif yang selalu rosak kerana tangan yang suka merosakkan harta benda awam, dan akhirnya menyebabkan kesusahan buat orang yang tinggal di tingkat lebih tinggi kerana terpaksa guna tangga.
“Jadi beringatlah buat semua penghuni flat, hidup mesti bertolak ansur, hormat menghormati dan mudahkan urusan orang agar urusan kita juga dipermudahkan,” ujarnya.
Buat pengguna lain, Kuija Khairil, isu parkir bukanlah satu-satunya masalah yang dihadapi penduduk flat malah ada banyak kes yang mengubahsuai rumah hingga mengganggu penduduk lain.
Kuija berkongsi masalah di rumah teres pula apabila parkir di hadapan rumah juga diambil oleh jiran yang mementingkan diri sendiri.
“Rumah flat tapi hias macam kondominium, yang rumah teres pun sama. Ubah suai sampai bahagian beranda rumah pun tiada.
“Tak cukup itu, anak pula beli kereta seorang satu, kemudian yang menjadi mangsa pemilik rumah lain. Habis parkir diambil oleh mereka.
“Dia ingat tanah Majlis tu dia punya apa, sangat mudah untuk mengabaikan hukum zaman sekarang ni, kalau bukan Islam tu boleh la faham tapi yang Islam dah kenal halal haram ni pun buat juga,” katanya.
Baca juga: Selagi perpustakaan tak buka 24 jam, isu pelajar buat ‘assignment’ dekat McD tidak akan selesai