Malaysia Dateline

Duduklah di rumah, KKM ulangi rayuan ketika Covid-19 terus mengganas

Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi ciapan Twitter sebentar tadi mengulangi rayuan agar orang ramai mengelak untuk keluar dari rumah jika tanpa keperluan mendesak.

Menurutnya, majoriti pesakit Covid-19 pada masa ini adalah golongan muda berumur antara 20 hingga 40 tahun.

“Duduklah di rumah sekurang-kurangnya dua minggu ini jika tiada keperluan untuk keluar.

“Sekiranya terpaksa keluar dari rumah (seperti keluar bekerja atau membeli barang keperluan), patuhi SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan dan lindungi diri,” nasihatnya.

KKM turut memaklumkan majoriti kes Covid-19 ketika ini adalah sporadik iaitu tidak diketahui dari mana punca jangkitan.

“Anda perlu hadkan pergerakan yang tidak perlu untuk lindung diri dan keluarga,” pesan KKM lagi.

Kes harian wabak itu terus melambung lebih 7,000 kes untuk tiga hari berturut-turut dengan rekod 7,857 kes dilaporkan hari ini.

Ini menjadikan jumlah jangkitan bertambah kepada 541,224 kes pada hari ketiga pelaksanaan sekatan tambahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.