Segala teka-teki peminat mengenai Shila Amzah akhirnya terjawab apabila penyanyi itu mengakui bakal menimang cahaya mata sulungnya bersama suami, Ubai MZ.
Khabar gembira tersebut dikongsikan oleh pasangan selebriti itu di laman TikTok dan Instagram milik Ubai yang juga merupakan seorang personaliti media sosial terkenal.
Menerusi hantaran yang dibuat pada hari Khamis, pemilik nama sebenar Nurshahila Amir Hamzah itu berkata, mereka tidak berniat untuk merahsiakan perkara tersebut.
Sebaliknya, pasangan yang mendirikan rumah tangga pada lima bulan lalu itu mahu memastikan proses kehamilan berjalan lancar sebelum didedahkan kepada umum.
“Ada sebab, kenapa kami baru beritahu semua orang sekarang. Saya cuma ingin pastikan proses awal kehamilan berjalan lancar terlebih dulu. Terima kasih kepada yang mendoakan kami sebelum ini.
“Doakan agar kandungan ini selamat dan dipermudahkan segala-galanya,” pinta Shila dalam hantaran video yang dimuat naik oleh Ubai di platform media sosial miliknya itu.
Menerusi hantaran sama, Ubai atau nama sebenarnya Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli menyifatkan kehamilan itu sebagai lembaran baharu dalam kehidupannya.
Hal ini kerana, Ubai pada tahun lalu terpaksa mengharungi pelbagai ujian termasuk kehilangan insan tersayang iaitu arwah adik dan ibunya dalam tempoh tiga bulan.
“Tahun 2023 meninggalkan peristiwa manis dan sedih yang banyak mengajar kami berdua. Tetapi pada tahun yang sama, kami mengambil keputusan untuk berkahwin.
“Tahun lepas juga, arwah adik pergi sebelum majlis pertunangan kami. Kemudian, diikuti pula pemergian arwah mak beberapa hari sebelum majlis pernikahan kami.
“Selesai cerita kami pada 2023 dan 2024 ini. Kami ingin membukanya dengan satu perkhabaran (pengumuman kehamilan).” Kongsi lelaki yang berusia 26 tahun itu.
Terdahulu, beberapa individu terutamanya di kalangan pengguna media sosial telah membuat andaian bahawa pelantun lagu Patah Seribu itu sebenarnya berbadan dua.
Enggan mengiyakan atau menidakkan dakwaan tersebut, Shila meminta orang ramai untuk menghormati dirinya setelah netizen berkenaan menegur perubahan bentuk badannya.
Untuk rekod, Shila dan Ubai sah bergelar suami isteri dalam satu majlis pernikahan yang berlangsung di The Boathouse Ampang, Kuala Lumpur pada 5 Ogos tahun lalu.
Shila sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Haris Idraki Elias pada April 2018 sebelum membuat keputusan untuk berpisah pada bulan Februari, 2022.
Hasil perkahwinan hidup selama empat tahun, bekas pasangan suami isteri tersebut dikurniakan seorang cahaya mata anak lelaki, Seth Uwais yang kini berusia 5 tahun.
Baca juga: “Bila gaduh sikit mulalah nak mengadu dekat mak, aku sampai tawar hati dengan suami…”