Duit elaun tak cukup, Ahli Parlimen pembangkang mohon peruntukan khas Ramadan RM50k untuk bantu rakyat

Oleh MAISARAH AISYA

Semakin dekat dengan bulan Ramadan maka banyak rakyat tidak berkemampuan akan menunggu bantuan daripada wakil rakyat yang mereka undi.

Timbul pula isu elaun wakil rakyat sahaja tidak cukup hingga ada pihak pembangkang menyuarakan bantuan khas di sidang Dewan Rakyat semalam.

Ahli Parlimen Jerlun, Dr. Abd Ghani Ahmad (PN) mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan pemberian peruntukan khas kepada semua wakil rakyat bagi meraikan Ramadan.

“Wakil rakyat antara pihak yang menjadi tumpuan pelbagai pihak, termasuk masjid, surau anak yatim, ibu tunggal, fakir dan miskin datang untuk meminta peruntukan.

“Saya pohon kepada kerajaan supaya dapat meluluskan peruntukan khas Ramadan berjumlah RM50,000 utnuk semua ahli parlimen Islam atau bukan Islam.

“Diberikan kepada mereka (peruntukan khas) untuk meraikan Ramadaan yang akan disambut dan kalau boleh biarlah sebelum tamat persidangan ini,” ujarnya di Dewan Rakyat.

Tambahnya, ahli parlimen tidak boleh bergantung kepada elaun sahaja untuk membantu rakyat.

“Nak mengharapkan elaun wakil rakyat sahaja tak cukup, tak mampu untuk atasi keperluan ini.

“Saya minta pertimbangan yang munasabah daripada kerajaan ini untuk meraikan Ramadan dengan meluluskan elaun khas RM50,000,” tambahnya.

Baca juga: Kenaikan SST beri impak besar, prestasi KDNK Malaysia dijangka melonjak pada 2024?