Malaysia Dateline

Duit memang tak boleh bawa mati tapi… , pakar ini kongsi tips elak berhutang sampai ke kubur

Tanggapan sesetengah orang bahawa duit tidak boleh bawa ke mati sekaligus memandang remeh soal pengurusan kewangan seolah-olah lupa bahawa hutang mampu ‘mengekori’ sampai ke kubur.

Seorang pakar kewangan menerusi saluran Youtube beliau, Financial Faiz mengingatkan bahawa sikap tidak peduli untuk menguasai ilmu kewangan akan membebankan ahli keluarga sendiri apabila individu itu meninggal dunia.

Beliau berkata demikian mengulas pendapat seorang penonton bagi videonya mengenai OPR (Kadar Dasar Semalaman) Naik Lagi yang meninggalkan komen, “Duit tak boleh bawa mati wey“.

Faiz menegaskan pandangan itu seolah-olah individu tersebut sudah menemui satu ilmu yang amat hebat hingga tidak perlu belajar mengenai ilmu pengurusan kewangan.

“Saya balas dekat dia, saya kata “Tapi hutang boleh bawa mati maknanya kalau Tuan berhutang dengan orang lain dan you mati sebelum hutang itu dilangsaikan”, maknanya you akan berhutang dengan orang itu bukan saja di dunia tapi sampailah ke alam kubur, padang mahsyar ke akhirat nanti, selama-lamanya.

“Orang macam ini, dia selalu menggunakan agama, “Alah, duit tak boleh bawa mati pun kita belanjalah di dunia ini,” katanya dalam video berdurasi 10 minit 22 saat itu.

Sehubungan itu, beliau mengulangi pesanan bahawa dalam membesarkan anak-anak, terdapat dua ilmu yang perlu ibu bapa terapkan.

“Nombor satu, sudah tentu ilmu keagamaan. Nombor dua adalah ilmu kewangan sebab kalau anda tak ada ilmu kewangan, lepas itu anda berhutang sampai mati, lepas itu anda mencuri duit orang.

“Nak pergi Haji pun, anda kena tipu, ‘kan? Jadi, dari segi itu, duit boleh bawa mati tak?

“Memang tak bolehlah tapi dia berhutang sampailah ke kubur. Dekat situlah kita nak elakkan. Ilmu-ilmu pengurusan kewangan ini bukan terhad kepada duit dalam poket anda itu saja,” katanya.

Menurutnya, sikap guna saja wang hari ini tanpa mengambil berat soal pengurusan kewangan termasuk perancangan masa depan mengakibatkan seseorang itu akan terjebak dalam lingkaran ganas hutang.

“Orang yang ada income tak kisahlah pendapatan daripada gaji, part time business, Grabfood rider, atau pun dia ada sejumlah wang yang banyak daripada mak bapa dia, perlu urus duit dia.

“Kalau tak urus dengan betul, dia akan mula berhutang. Nak beli kereta, tiada duit tunai, tak mengapalah, ambil hutang untuk beli kereta supaya boleh pakai kereta itu untuk pergi kerja, dapatkan duit.

“Ya, itu satu kitaran tapi kalau anda kurang bijaklah, gaji kamu naik, apa kamu buat? Bila periuk besar, kerak pun besarlah.

“Gaji naik, kamu tambah hutang. Itu yang kita kena elakkan,” tegas Faiz lagi.

Baca juga Kembangkan pendapatan paling kurang 10% setiap tahun, ketahui lima tips bijak urus kewangan anda

Baca juga Sambut kepulangan suami curang dengan kain rentang besar