Malaysia Dateline

Duit raya peneroka: Giliran kerajaan PH pula pikul beban ‘biawak hidup’, kata Mazlan

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) terpaksa menanggung beban terhadap apa yang ditinggalkan kerajaan BN dalam isu membabitkan 112,635 orang peneroka Felda di negara ini, kata Mazlan Aliman.

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda (Anak) itu turut melahirkan rasa kesedihan dan kekecewaannya apabila peneroka Felda  mengharapkan insentif dan bantuan hari raya dapat diterima daripada kerajaan PH.

“Itulah kesedihan dan kekecewaan yang amat saya rasai, mengenai situasi Felda pada waktu ini.

“Saya memahami rayuan dan harapan para peneroka yang amat mengharapkan insentif duit raya, yang diterima sejak tahun 2003 lagi.

“Itu belum ditanya mengenai insentif khas RM5,000, wang tanam semula dan lain lain.

“Dulu saya kata, Tan Sri Shahrir Samad, terima jawatan Pengerusi Felda, ibarat mendukung biawak hidup. Kini, bebannya, terpaksa ditanggung Kerajaan baharu, Pakatan Harapan,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Menurut Mazlan lagi, beliau telah menghantar sepucuk surat kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dua minggu lalu, mencadangkan agar peneroka Felda tidak terkecuali diberikan bantuan hari raya.

Bagaimanapun ujarnya, kini urusan Felda di bawah Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dipertanggungjawab menangani isu peneroka.

Malah Mazlan juga telah berhubung dengan Pengarah Besar Felda Datuk Ghani Ali dan Ketua Eksekutif FGV Datuk Zakaria Arshad.

Terkini katanya pernah  membentangkan cadangan kepada Penasihat Kerajaan yang diketuai Tun Daim Zainuddin untuk penambahbaikan Felda.

“Namun ibarat pepatah ‘ betapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul’.

“Saya menerima panggilan  yang semakin kerap,  menerusi wasapps dan sms. Mereka tanya, bila nak dapat duit raya?

“Semasa saya bentangkan cadangan penambahbaikan bina semula Felda dihadapan Lembaga Penasihat Kerajaan yang diketuai Tun Daim, saya merayu agar Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) diwujudkan bagi mengheret mereka yang bertanggunjawab atas kehilangan berbilion wang Felda ke muka pengadilan.

“Ia bukan soal balas dendam, tapi angkara perompak dan penyamun ini hingga licin duit Felda.

” Felda agensi pembangunan tanah yang terbesar di dunia, suatu ketika memiliki rezab berbilion ringgit, kini menghadapi masalah kewangan yang parah.

“Mereka adalah pengkhianat dan mesti bertanggungjawab atas perbuatan mereka.

“Jika isu 1MDB, siasatan polis hingga ketahap merampas aset suspek, langkah yang serupa mesti dibuat kepada individu yang dikenal pasti menjahanamkan berbilion wang Felda,” ujarnya.

Menurut Mazlan lagi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pengundi di kawasan Felda telah membuktikan keberanian mereka apabila mengubah kerajaan BN kepada PH apabila 19 daripada 53  Parlimen di kawasan Felda dapat ditembusi.

“Namun Kerajaan PH mewarisi peninggalan yang buruk dari Kerajaan BN.

“Tapi adakah pengundi Felda sedia menerima alasan ini, sebab kuasa telah ada ditangan PH?.

“Secara peribadi, saya sedia dimaki hamun dan dicerca, jika sampai hari raya, insentif raya tidak diperolehi. Ketika ini pun, bahangnya telah saya rasai di media sosial.

“Ia pahit, tapi barangkali adil buat peneroka, yang saya sifatkan seperti ibu bapa saya sendiri,” ujarnya hiba.

Justeru katanya buat masa ini Anak dan beberapa NGO lain akan bekerjasama dan berhasrat membantu kerajaan PH untuk memulihkan semula Felda.

Sebagai rekod tahun lalu, seramai 94,555 peneroka Felda di seluruh negara dilaporkan menerima insentif khas dan dividen Felda Global Ventures (FGV) sebanyak RM780 seorang dengan jumlah keseluruhan RM73.35 juta.

Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat Umno, pada Sabtu mendesak Kerajaan Pakatan Harapan supaya tidak menjadikan isu hutang negara sebanyak RM1trilion sebagai alasan tidak memberikan bantuan hari raya kepada kumpulan yang se­ring mendapat manfaat itu daripada kerajaan terdahulu.