Seorang wanita tidak pernah menyangka bahawa mentua yang disayanginya bakal berubah sekelip mata selepas suaminya meninggal dunia secara tiba-tiba.
Difahamkan, wanita yang menggelarkan dirinya sebagai Sutera itu tinggal bersama mentua kerana menghormati keputusan suami yang merupakan anak lelaki tunggal.
Sutera bagaimanapun diminta keluar dari rumah yang kononnya dihibahkan kepada suami sebaik lelaki itu tiada untuk memberi ‘laluan’ kepada adik ipar perempuannya.
Berharap kisahnya dijadikan pengajaran agar tidak terlalu bersangka baik kepada ‘orang luar’, berikut perkongsian Sutera yang terpaksa berdikari selepas kematian suami.
“Saya berharap supaya perkongsian ini boleh dijadikan iktibar dan pengajaran. Kejadian berlaku beberapa tahun lalu, namun baru terpanggil untuk berkongsi. Saya Sutera, berumur akhir 40-an. Bekerja sebagai guru dan memiliki empat orang anak yang Alhamdulillah, sihat serta bijak. Saya seorang yang bersifat lurus.
“Boleh dikatakan baik dan sentiasa husnuzon (bersangka baik) dalam setiap perkara. Saya tinggal bersama mentua disebabkan suami adalah anak lelaki tunggal. Suami telah menyatakan hasrat untuk duduk bersama ibu bapanya sebelum menikah, maka saya berkenalan dengan mentua dan serasi. Adik beradik suami semuanya perempuan.
“Mereka bekerjaya profesional dan berjaya namun tinggal sedikit jauh daripada mentua. Suami saya juga bekerjaya dengan gaji yang selesa, Ahamdulillah. Mentua kedua-duanya daripada keturunan yang baik, beragama dan pernah berkerja dalam bidang profesional. Mereka berdua sudah pencen dengan total RM8,000 sebulan.
“Jadi di rumah pusaka itu saya tinggal bersama suami, mentua dan anak-anak. Disebabkan kami ini ramai, saya dan suami bersetuju untuk membuat pinjaman peribadi. 60 peratus dari suami dan saya 40 peratus bagi ubah suai rumah mentua dengan menambah bilik. Rancangnya bilik-bilik baharu itu bakal diduduki anak-anak kami.
“Lagi pula ibu mentua telahpun menghibahkan rumah itu kepada suami. Kedua-dua mentua tahu tentang pinjaman peribadi kami. Mereka juga berterima kasih kerana saya sudi membantu meringankan bebanan kewangan suami. Adik-adik perempuan suami pula dihibahkan bahagian tanah di kawasan kampung yang agak luas.
“Alhamdulillah, semuanya baik dan gembira sahaja. Ramai kenalan saya yang cemburu dengan keakraban kami. Saya ketika itu dilayan mentua seperti anak sendiri. Semua adik ipar juga sangat baik dengan saya dan anak-anak. Kesimpulannya, saya tidak kekok tinggal bersama mentua. Namun, semuanya tidak seindah mana.
“Terutama apabila suami saya meninggal secara tiba-tiba. Ayat mentua, ‘Jangan risau, ibu akan menjaga Sutera dan cucu-cucu ibu. Teruskan teman ibu dan ayah di sini’. Saya bersyukur kerana diterima walaupun hanya menantu. Ibu mentua juga banyak bercerita kepada orang yang hadir. Katanya, akan menjaga saya dan anak-anak.
“Ramai memuji tindakan ibu mentuaku. Saya? Tentulah terharu. Memikirkan anak-anak sangat rapat dengan ibu mentua berbanding ibu saya sendiri, memang setuju dia baik orangnya. Mungkin asbab kebaikan itu, salah seorang anak perempuannya dapat bertukar ke negeri ini. Mereka sekeluarga menyewa di taman berhampiran kampung.
“Namun atas kekangan masa, anak-anak iparku dihantar ke rumah ibu mentua. Saya baik-baik sahaja. Lebih ramai, lebih meriah. Setelah beberapa bulan suami meninggal, barulah rumah yang kami ubah suai itu siap sepenuhnya. Rumah lama yang diberi nafas baru. Pinjaman peribadi hanya tinggal beberapa tahun lagi untuk diselesaikan.
“Saya dan anak dapat keseluruhan hibah simpanan suami kerana dia sangat menjaga perihal kewangan kami. Duit ‘gratuity’ (sagu hati) kerja suami, saya selesaikan pinjaman peribadi kami berdua dan berikan sebahagian kepada ibu. Alhamdulillah, kurang beban hutang kecuali kereta saya yang juga tinggal beberapa tahun untuk diselesaikan.
“Urusan faraid juga mudah, Alhamdulillah. Ibu juga dapat bahagiannya. Namun perkara yang tidak disangka, tiba-tiba berlaku. Adik ipar sedikit sebanyak mulalah tidur dan tinggal di rumah mentua. Bilik anak-anak saya terpaksa berkongsi. Satu hari, ibu mentua minta aku pindah bilik. Katanya kongsi sahaja bersama anak perempuan saya.
“Bilik kelamin saya itu agak besar, senanglah untuk anak perempuannya tidur di situ setiap kali pulang. Alasannya sebab bilik tamu terlalu kecil. Saya tak mampulah berkata apa-apa kerana memikirkan kami ini hanya menumpang. Walaupun hakikatnya, hampir semua perabot di dalam bilik itu telah saya tukarkan dengan yang baru.
“Semakin lama, adik ipar menyatakan pula hasrat untuk berpindah ke rumah ibu bapanya dengan alasan mahu menemani mereka yang semakin menginjak usia. Dia meminta saya berpindah ke tempat lain. Katanya, khuatir sekiranya saya berkahwin semula. Secara tiba-tiba. Ya, saya memang terduduk dan tergamam.
“Memikirkan rumah itu telah dihibahkan kepada suami, jadi kami suami isteri tidak pernah membeli kediaman lain. Banyak duit kami laburkan di situ. Saya bersyukur kerana tak meneruskan niat suami untuk membuat ubah suai dalaman. Ibu mentua menerima cadangan adik ipar dengan alasan sama. Takut saya berkahwin semula.
“Alasan lain adalah kerana saya bekerja dan masih miliki pendapatan tetap serta ada pencen suami. Jadinya, saya mampu untuk membawa diri sendiri dan juga anak-anak. Katanya, anggaplah rumah tersebut sebagai hadiah dan kenangan suami untuk ibu dan adik-adik beliau. Saya terdiam dan menangis. Sungguh saya rasa disisihkan.
“Selepas banyak saya berhabis duit untuk rumah tersebut. Ibu mentua menyatakan bahawa tanah rumah itu di atas nama beliau. Maka dia ingin memberikan kepada anak perempuannya. Saya diam untuk beberapa lama. Namun saya sedar dan mula menguruskan urusan perpindahan rumah dan sekolah anak-anak.
“Alhamdulillah, saya juga mendapat pertukaran dengan mudah. Semua urusan anak-anak juga dipermudahkan. Ya, itulah kisah husnuzon saya. Meskipun kami duduk agak jauh, saya masih membawa anak-anak berjumpa nenek mereka. Namun, layanan yang diberikan sangat berlainan berbanding ketika suami masih ada.
“Betul kata mentua, saya tak perlukan wang ringgit. Tetapi layanlah anak-anak saya yang juga sebahagian suami iaitu cucu mereka sendiri. Mereka sekeluarga sangatlah bimbang sekiranya saya menuntut ‘hak dan janji’ anak-anak. Tidak mereka katakan secara nyata, namun saya faham setiap kali pulang melawat mereka.
“Saya bersyukur masih berkerja, mampu menyara keempat-empat anak. Bersyukur suami hibahkan hampir kesemua simpanannya kepada saya dan anak-anak. Bagus bersangka baik. Tetapi ingatlah, kita menantu hanyalah orang luar. Kesilapan saya adalah, tidak menyemak hitam putih hibahan rumah tersebut.
“Rupa-rupanya hanya hibah di mulut. Tetapi apalah hak saya untuk berkata apa-apa.” Kongsi Sutera (Bukan nama sebenar) menerima ketentuan ditetapkan Ilahi menerusi satu hantaran tular yang dimuat naik olehnya di sebuah forum popular di atas talian.
@wawanfood Tak cuba maka tak tahu. Rasai sendiri Sambal Garing Mata Biru keluaran kami. Pedas 3 minit di mulut.... #sambalikanbilis #sambalgaringbilis #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilis #sambal ♬ Sunrise - Official Sound Studio