Malaysia Dateline

Duit Usain Bolt lesap hampir RM55 juta dari akaun bank

Raja pecut dunia, Usain Bolt dilaporkan kehilangan kira-kira AS$12.7 juta (RM54.781 juta) selepas wang itu didapati lesap dari akaun pelaburannya dengan firma pelaburan swasta.

Disebabkan kehilangan begitu besar jumlah wang pelaburannya, Bolt kini hanya memiliki sekitar AS$12,000 atau RM51,762 sahaja di dalam akaun bank miliknya.

Memetik Associated Press (AP), Peguam mewakili Bolt, Linton P Gordon sudah menghantar surat kepada Stock & Securities Limited supaya memulangkan wang terbabit, dan pihak berkuasa Jamaica juga sedang menjalankan siasatan mengenai kes itu.

“Jika ini benar (namun kami harapkan tidak), ia adalah satu penipuan yang serius terhadap anak guam kami,” katanya dalam satu surat kepada AP.

Lapor agensi itu, pihak guaman mewakili Bolt turut mengancam untuk mengambil tindakan sivil dan jenayah jika wang terbabit tidak dikembalikan dalam tempoh 10 hari.

Peguam Bolt menghantar surat Isnin lalu, hari yang sama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Kewangan Jamaica mengumumkan pelantikan pakar juruaudit bagi menilai tuduhan penipuan di Stocks & Securities Limited, yang beroperasi di ibu kota Kingston.

Stock & Securities Limited bagaimanapun belum membuat sebarang kenyataan mengenai perkara terbabit.

Menerusi laman webnya, syarikat pelaburan itu mengarahkan pelanggan untuk segera mengusulkan persoalan itu kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Kewangan Jamaica yang bertanggungjawab melakukan siasatan ke atas firma pelaburan.

“Kami memahami bahawa pelanggan bimbang dan mahukan lebih banyak maklumat, dan kami jamin akan memantau perkara ini dengan teliti dan akan memaklumkan kepada pelanggan setiap langkah yang diambil sebaik menemui penyelesaian dan sebaik maklumat itu tersedia,” katanya.

Syarikat itu mendakwa, wujud beberapa penipuan sebelum ini apabila beberapa pelanggan dilaporkan turut kehilangan jutaan dolar.

Bolt telah bersara dari dunia olahraga pada 2017 dan masih memegang rekod dunia acara 100m, 200m dan 4X100m