Malaysia Dateline

Dukacita lihat kesan kerosakan selepas banjir, Sultan Selangor gesa kerajaan negeri ada perancangan tangani banjir

Sultan Sharafuddin Idris Shah menggesa kerajaan negeri Selangor agar memberi penekanan yang lebih serius terhadap usaha-usaha menangani masalah banjir dan banjir kilat yang semakin kerap berlaku.

Baginda turut menzahirkan rasa dukacita dan sedih apabila melihat kesan-kesan kerosakan selepas banjir yang terpaksa dihadapi oleh rakyat.

Titahnya, Kerajaan Selangor perlu menyediakan pelbagai pelan, selain mengenalpasti kaedah terbaik menangani banjir termasuk mendapatkan khidmat kepakaran serta teknologi baharu dari dalam dan luar negara.

“Sepatutnya, sejak berlaku tragedi banjir besar di Selangor pada tahun 1971, kita telah belajar dan memperoleh teladan bagaimana untuk menyediakan pelan tindakan sebelum dan selepas banjir.

“Apatah lagi dengan jumlah penduduk yang kini mencecah lebih 6.5 juta orang terutama kawasan-kawasan yang sangat padat penduduknya, Kerajaan Negeri harus mempunyai perancangan masa hadapan yang lebih efektif supaya rakyat Selangor tidak lagi merana dan terbeban dengan masalah banjir.

“Beta juga mahu pegawai-pegawai di agensi dan jabatan di bawah kerajaan negeri lebih proaktif dalam menyelesaikan masalah-masalah berkaitan bencana banjir. Setiap tindakan dan respons perlu diambil dengan pantas tanpa berlengah kerana ia membabitkan nyawa dan kerugian harta benda rakyat,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi tahun 2022 di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sultan Sharafuddin turut berharap setiap projek mengatasi banjir seperti pembinaan ban atau mendalamkan sungai dilakukan dengan sempurna dan bersungguh-sungguh agar ia berkesan dalam tempoh jangka masa panjang bagi mengelakkan bencana banjir lebih buruk daripada berlaku.

Dukacita lihat kesan kerosakan selepas banjir, Sultan Selangor gesa kerajaan negeri ada perancangan tangani banjir
Selangor mencatatkan jumlah kerugian terbesar bagi tempat kediaman iaitu RM1.0 bilion dalam bencana banjir Disember lalu.