Malaysia Dateline

Dulu bantah, kini sijil UEC layak sertai Program Ijazah Perguruan

Pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kini layak untuk menyertai program latihan perguruan biarpun isu berkaitan pengiktirafan sijil berkenaan pernah ditentang hebat oleh Pas dan pembangkang sewaktu pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Facebooknya, berkongsi satu poster yang memaparkan tawaran dari KPM bagi pelajar lepasan SPM untuk mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Fasa 2 dan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan.

Pemegang sijil UEC bagi tahun 2021 juga disenaraikan sebagai keutamaan yang digalakkan untuk memohon bagi mengikuti program berkenaan.

“Pengambilan khas calon guru bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Fasa 2 dan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Lepasan SPM yang mempunyai Sijil Menengah Agama (SMA) Atau Sijil Menengah Ugama (SMU) dan Sijil Unified Examination Certificate Unified (UEC) bagi tahun 2021.

“Permohonan bagi program tersebut bermula pada 16 Julai 2021 dan pemohon boleh layari laman sesawang https://pismp.moe.gov.my untuk maklumat lanjut,” tulis poster KPM itu.

Sijil UEC adalah peperiksaan dikendalikan oleh badan persendirian menerusi Gabungan Kesatuan Pengelola Sekolah Cina Malaysia, Gabungan Kesatuan Guru Sekolah Cina dan Kesatuan Alumni Cina.

Sukatan mata pelajaran UEC berasal sepenuhnya dari Taiwan dan dikelolakan oleh Pertubuhan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

Sebelum ini, isu UEC paling banyak dimainkan oleh parti Pas semasa pentadbiran PH.

Pas lantang menentang pengiktirafan sijil berkenaan sehingga perang cabar mencabar berlaku yang mendesak DAP untuk keluar daripada kerajaan Persekutuan.

Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad antara yang menentang tindakan itu dengan mengatakan cadangan mengiktiraf UEC adalah pengkhianatan besar kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan, bercanggah dengan Akta Pendidikan 1996 dan melebarkan jurang perkauman di Malaysia.

Pemimpin Pas yang lain juga menyifatkan pengiktirafan UEC sama seperti mengiktiraf komunis.