Seorang pelakon otai, Hamidah Wahab yang memulakan kerjaya sebagai peragawati pada era 1970-an ini mengaku tidak pasti di mana silap atau kekurangan dalam diri, hingga tidak lagi menjadi pilihan penerbit drama atau telefilem sejak 10 tahun lalu.
Pelakon senior berusia 66 tahun itu sudah sedekad tidak muncul dalam drama atau telefilem terbitan stesen televisyen tempatan, biarpun suatu waktu dahulu tidak putus-putus dihujani tawaran.
“Sebenarnya, semua ini terjadi terlalu drastik. Saya berlakon tanpa henti sejak 1974. Setiap tahun, tidak pernah lengang dan tidak pernah tiada tawaran lakonan, sama ada dari TV3, RTM dan sebagainya.
“Saya tertanya-tanya kenapa tidak dapat tawaran. Ini mata pencarian saya yang utama. Saya tiada kerja lain sejak 1974. Saya fikir apakah orang lama seperti saya tidak lagi dipandang atau orang jemu. Saya pun tidak tahu apa nak cakap.
“Saya serahkan kepada Allah dan Dia yang mengaturkan,” katanya memetik laporan Berita Harian semalam.
Namun, Ramadan kali ini memberi rezeki buat Hamidah apabila RTM memberi peluang kepadanya kembali beraksi melalui telefilem Perang Panjut Tujuh Likur arahan Epon Jenon yang disiarkan slot Panggung RTM di TV1 pada 6 April lalu.
Hamidah yang membintangi filem sulung, iaitu Gila Gila arahan Omar Rojik pada 1979 memberitahu, sejak tidak lagi menerima tawaran berlakon, Allah menggantikan pekerjaan lain kepada dirinya.
“Selama tempoh itu, saya bawa orang pergi ke Makkah menunaikan umrah dan haji. Saya bekerja sebagai mutawif wanita. Alhamdulillah, saya ada pendapatan selain berlakon,” katanya seperti dipetik.
Hamidah bersyukur RTM memberi tawaran berlakon, malah, bayaran daripada pihak produksi tidak pernah berkurangan.
“Bayaran di RTM dari dulu memang terbaik, bukan hendak dibandingkan dengan produksi luar.
“Namun, RTM tahu gred kita. Jadi, mereka beri bayaran setimpal. Terima kasih RTM sebab kembalikan saya ke alam pekerjaan ini,” katanya.
Hamidah mendakwa ada syarikat produksi memberi bayaran tidak setimpal kepada pelakon veteran sepertinya.
“Ada syarikat produksi beri bayaran tak berbaloi, macam bagi makan ikan. Misalnya, saya mahu dibayar RM150.
“Saya bukan tidak mahu ambil (terima), tetapi tidak berbaloi rasanya sebanyak itu. Hargailah pelakon lama, janganlah beri kami bayaran tidak setimpal,” katanya.
Baca juga: Beg tangan berhabuk? Ini cara nak bersihkan, tak perlu bazir duit beli baru