Malaysia Dateline

Dulu ‘Darul runtuh’, jangan pula digelar ‘Darul seleweng’

Setelah berdepan kesusahan kesan dari wabak Covid 19, penduduk Kuala Nerus yang terletak bersebelahan Kuala Terengganu, dilanda pula masalah terputus bekalan air yang berlanjutan sudah seminggu lamanya.

2. Masalah ketiadaan bekalan air yang melibatkan 23,100 akaun rumah atau sekitar 115,000 penduduk menyebabkan rakyat terpaksa bertungkus lumus mengangkut air dan ada yang mengali perigi untuk dapatkan air.

3. Melalui usaha kudrat sendiri dan bantuan individu serta kumpulan yang baik hati, rakyat terpaksa berhempas pulas untuk mengangkut keperluan asas air minum, untuk berwuduk dan membasuh.

4. Sejak hari Isnin, selepas hampir 6 hari, diberitakan hanya pada tengah hari Sabtu Menteri Besar Dato Seri Samsuri kelihatan turun padang ke Sungai Terengganu, menuju ke tapak punca kerosakan bekalan air tersebut.

5. Soalannya kenapa hampir seminggu baru kelihatan turun ke Losong meninjau kerosakan bekalan asas penting untuk rakyat?

6. Dipercayai Menteri Besar sibuk di Kuala Lumpur menghadiri hal lain yang dianggap lebih penting dari masalah rakyat Terengganu tiada bekalan air selama seminggu dan berterusan sehingga sekarang.

7. Adakah soal cuba menyelamat hayat hidup politik Perdana Menteri yang bermasalah dengan kepercayaan rakyat dan Agong jauh lebih penting dari kebajikan rakyat sendiri yang merupakan tanggungjawab utama Menteri Besar?

8. Rakyat hari ini yang celik maklumat mempersoalkan bagaimana paip besar yang membekalkan air di dasar sungai boleh pecah, adakah ia kesan aktiviti oleh kontraktor berlesen mengambil pasir dari sungai?

9. Untuk mendapat kebenaran dan memulakan kerja kerja mengambil pasir tersebut kelulusan berbagai jabatan serta agensi kerajaan perlu diperoleh terlebih dahulu.

10. Jabatan Bekalan Air (JBA), Jabatan perparitan dan saliran (JPS), Syarikat Air Terengganu (SATU), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri, Pejabat Tanah Kuala Terengganu, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), dan Jabatan Alam Sekitar semuanya perlu meluluskan permohonan dengan syarat syarat yang ketat dengan pengawasan serta pemantauan tertentu.

11. Penduduk serta nelayan nelayan kampung Losong dan Bukit Datu juga telah menyuarakan bantahan mereka kerana terlalu banyak pasir telah diambil di kawasan sungai berkenaan sejak beberapa tahun yang lepas.

12. Bagaimana insiden ini boleh terus dibenarkan berlaku? Adakah pengaruh pihak tertentu dikenakan ke atas pihak berkuasa yang menyebabkan kerosakan ini berlaku?

13. Adakah peraturan tawaran pemberian tender diikuti sepenuhnya?

Lakaran paip yang pecah di dasar Sungai Terengganu akibat aktiviti mengorek pasir secara di luar kawalan.

14. Ramai netizen menyebarkan melalui whatsapp laporan penilaian teknikal dengan rajah terperinci menunjukkan kerja tidak cermat melibatkan kecuaian sehingga menyebabkan putusnya paip air berkenaan kerana sokongan tanah asal telah hilang disebabkan kerja pengambilan pasir tidak dikawal yang terlalu dekat dengannya.

15. Adakah benar berita yang tersebar ada individu tertentu, yang ada kaitan dengan ADUN tempatan yang juga merupakan ahli EXCO, terlibat dalam projek pasir ini?

16. Kebelakangan ini beberapa orang EXCO dan ADUN Terengganu lain dikaitkan dengan aduan serta siasatan oleh SPRM tentang projek pelitup muka bernilai RM9 juta dan ada juga projek berkaitan portfolio pelancongan.

17. Kedua dua projek tersebut diberitakan melibatkan ahli keluarga ADUN – EXCO berkenaan, seperti juga projek pengambilan pasir yang menyebabkan putusnya bekalan air.

18. Menteri Besar terlalu banyak menghabiskan masa di Kuala Lumpur sehinggakan bukan sahaja kebajikan rakyat biasa diabaikan, aktiviti EXCO dan ADUN Terengganu menjadi tidak terkawal dengan berbagai tuduhan salahguna kuasa!

19. Ramai rakyat biasa, termasuk penyokong Pas sendiri mengadu penyelewengan cara pembahagian projek di Terengganu di kalangan terpilih tertentu sahaja. Kalau MB asyik berdamping dengan Mahiaddin di Putrajaya sahaja, keadaan akan lebih parah.

20. Rakyat Terengganu bukan hanya kehausan air minuman, mereka juga dahagakan keprihatinan dan ketelusan pemimpin yang mereka dahulu pilih sebagai ADUN.

21. Terengganu yang dahulunya di kenali sebagai Darul Runtuh kerana projek bangunan yang banyak runtuh, dengan keadaan banyak penyelewengan ADUN dan EXCO nya hari ini yang tidak terkawal oleh MB, mungkin akan berubah di kenali sebagai Terengganu “DARUL SELEWENG” pula.

——————–

Penulis adalah ahli Dewan Negara dan juga Pengerusi AMANAH Negeri Terengganu. Tulisan ini ditulis tiga hari lepas.