Dulu dinafikan, kini MP Wilayah turut sama tadbir kerajaan

Dulu dinafikan, kini MP Wilayah turut sama tadbir kerajaan

Ahli Parlimen Wilayah diberi peranan tadbir kerajaan

Penyertaan Ahli Parlimen Wilayah ke Majlis Menteri membuktikan Kementerian Wilayah Persekutuan telah memberikan hak yang sempurna kepada semua ahli Parlimen mereka yang dipilih oleh rakyat secara sah dalam pilihan raya umum yang lalu.

Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Wilayah Persekutuan Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi berkata, sepatutnya 11 wakil rakyat ini dibenarkan untuk turut sama dalam urus tadbir kerajaan tempatan, tetapi hak ini dinafikan oleh kerajaan era BN terdahulu.

Sebelum ini, katanya, ramai pengundi yang mengadu kepada wakil-wakil rakyat mereka untuk mendapatkan pelbagai kemudahan, namun wakil rakyat sekadar mampu mengangkatnya ke pengetahuan pihak berkuasa tempatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan tidak lebih dari itu.

“Dengan penglibatan Ahli-ahli Parlimen di dalam Kementerian Wilayah Persekutuan, mereka dapat menyalurkan maklumat secara langsung terus kepada Menteri Wilayah Persekutuan dan terlibat sama dalam arus pembangunan di Wilayah Persekutuan,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Katanya, era kepimpinan Pakatan Harapan di Malaysia dapat membuktikan bahawa kerajaan sekarang berbeza dengan kerajaan terdahulu.

“Ketelusan, keadilan dan kesaksamaan dapat dinikmati oleh setiap rakyat dari pelbagai peringkat, latar belakang dan ideologi politik. Dengan ini, kemakmuran dapat dinikmati bersama,” katanya.

AMANAH Wilayah yakin, kepimpinan seperti inilah yang diimpikan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad berjaya mengiktiraf semua ahli parlimen di Wilayah Persekutuan secara rasmi dalam mentadbir ibu kota itu.

Mereka menyertai Mesyuarat Majlis Menteri yang berfungsi untuk menasihati Menteri Wilayah Persekutuan dalam perkara-perkara yang melibatkan pembangunan, pentadbiran dan hal ehwal warga kota secara amnya.

 

 

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS