Malaysia Dateline

Dulu gaji puluh ribu, solat pun kadang terlepas, sekarang FBI lebih tenang rezeki tidak putus

Bekas penyampai radio popular, Faizal Ismail mendedahkan kehidupannya kini lebih tenang walaupun tidak lagi bekerja dalam bidang hiburan dan menjana pendapatan lumayan seperti sebelum ini.

Mesra disapa dengan gelaran FBI, beliau menyedari wang ringgit dan harta bukanlah pengukur kejayaan seseorang sejak mendekatkan diri dengan agama dan mengikut tabligh.

Faizal mengakui, dahulu dia memerlukan sekitar RM14,000 sebulan hanya untuk membayar komitmen bulanan berbanding hari ini hutangnya yang tinggal hanyalah sebuah kereta.

“Bayangkan dahulu perbelanjaan saya sekeluarga termasuk komitmen bulanan mencecah sehingga RM14,000.

“Jadi, saya bekerja keras untuk mencari wang. Ketika itu bagi saya, apa yang dilakukan adalah betul.

“Apabila terlalu kejar wang dan dunia, perkara paling penting saya tertinggal. Contoh disebabkan terlalu sibuk, solat pun asal sempat kadang-kala terlepas. Memanglah pendapatan lumayan, tetapi hutang pun banyak,” kongsi Faizal dipetik Kosmo! Online.

Dulu gaji puluh ribu, solat pun kadang terlepas, sekarang FBI lebih tenang rezeki tidak putus.
Faizal Ismail dan ahli keluarganya.

Tersedar dari kealpaan, Faizal tekad mengubah cara kehidupan seluruh keluarganya untuk lebih dekat dengan agama.

Kini, mereka sekeluarga bahagia dengan kehidupan yang serba sederhana.

“Alhamdulilah sekarang walaupun pendapatan tidak lumayan seperti dahulu, tetapi sentiasa ada.

“Sebelum ini saya ada beberapa buah rumah dijadikan aset, tetapi saya telah jual semuanya. Sekarang kehidupan saya tenang kerana hutang yang tinggal hanyalah sebuah kereta,”ujar Faizal lagi.

Demi istiqamah dalam mendekatkan diri dengan agama, Faizal, 45, yang memiliki nama besar dalam bidang radio dan pengacaraan kini nekad terlibat dalam acara yang menjurus ke jalan agama serta dakwah sahaja.

“Demi kekalkan istiqamah di jalan Allah SWT, saya fokus undangan sebagai moderator forum dan tetamu jemputan.

“Jika jadi pengacara program pun saya pilih yang ada unsur dakwah sahaja. Tiada lagi gaji puluhan ribu.

“Memang dari segi wang tunai tidak banyak macam dahulu, tapi rezeki saya sekarang tidak putus.

“Jumlahnya sedikit tetapi berterusan. Oleh itu saya sudah tidak meminta-minta. Sebelum ini, jika saya menjadi pengacara saya akan menentukan harga.

“Sekarang saya menerima seadanya rezeki yang diberi oleh Allah.

“Insya-Allah, apabila kita meletakkan agama di depan dan Allah dalam hati, Allah pasti jaga keperluan kita di dunia dan akhirat,” katanya yang ditemui pada majlis sidang media pelancaran program umrah syarikat Syabibah Travel & Tours baru-baru ini.

Faizal yang menyandang jawatan Pengurus Promosi syarikat Syabibah Travel & Tours bakal berangkat ke Mekah pada Ramadan depan untuk menunaikan umrah bersama peserta dan selebriti jemputan iaitu Zulin Aziz, Bell Ngasri dan Saharul Ridzwan.