Jenama kasut popular iaitu Bata kini dilaporkan telah menutup kilangnya di Indonesia secara rasmi selepas 30 tahun beroperasi sejak tahun 1994.
Berita itu menggemparkan seluruh negara Indonesia kerana kilang itu merupakan salah satu daripada beberapa kemudahan pengeluaran Bata di Indonesia.
PT Shoes Bata Tbk mengumumkan penutupan rasmi kilangnya di Purwakarta, Jawa Barat pada 2 Mei lalu
Menurut laporan Tempo Bisnes, pengumuman itu dibuat melalui pendedahan maklumat di Bursa Saham Indonesia.
Menurut laporan, walaupun secara global Bata mengendalikan 27 kemudahan pengeluaran di 20 negara, dan mempunyai 5,000 kedai runcit, namun di Indonesia syarikat itu mengalami kerugian.
Keadaan ekonomi yang sukar semasa pandemik Covid-19 telah memburukkan perniagaan Bata di Indonesia.
Pada tahun 2021, syarikat itu telah mengumumkan penutupan 50 kedai akibat wabak itu.
Berdasarkan laporan kewangan syarikat setakat 31 Disember 2023, Bata mencatatkan kerugian Rupiah Indonesia (IDR) 190.5 bilion, berbanding tahun sebelumnya iaitu hanya Rp 106.1 bilion.
Jualan bersih juga menurun kepada IDR 609.61 bilion pada 2023, turun daripada IDR 643.45 bilion pada tahun sebelumnya.
Pengurusan syarikat mendedahkan bahawa kerugian telah berlaku selama empat tahun berturut-turut sejak permulaan wabak itu.
Dengan penutupan kilang di Purwakarta, Bata Indonesia menghadapi cabaran besar dalam menangani keadaan ekonomi yang sukar dan persaingan yang semakin sengit dalam industri kasut.
Keputusan ini memberikan gambaran tentang kesan pandemik yang berpanjangan terhadap perniagaan dan industri pembuatan di Indonesia.
PT Shoes Bata Tbk. mempunyai sejarah yang panjang dalam industri kasut, baik di Indonesia mahupun Malaysia.
Syarikat itu diasaskan oleh seorang pengusaha kasut dari Czechoslovakia, Thomas Bata, pada tahun 1894.
Kemunculan Bata di Indonesia bermula pada tahun 1931, dengan bekerjasama dengan syarikat kolonial, Netherlandsch-Indisch, sebagai pengimport kasut.
Sama seperti Malaysia, di Indonesia Bata terkenal sebagai pengeluar kasut dan kasut sekolah untuk lelaki dan wanita dewasa.
Baca juga: “Aku ibu berkerjaya, tapi digelar biawak hidup kerana suami penjawat awam bergaji tinggi”