Dulu jenama tudung gah, usahawan selebriti kini berdepan 5 kes, terima waran tangkap

Oleh MAISARAH AISYA

Siapa sahaja tidak mengenali jenama tudung Aidijuma yang pernah terkenal satu ketika dahulu, kini usahawan selebriti, Norjuma Habib Mohamed berdepan lima kes di mahkamah.

Empat Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Khamis mengeluarkan waran tangkap terhadap Norjuma yang berdepan lima kes mencederakan tiga individu dan melakukan khianat, tujuh tahun lalu.

Menurut Sinar Harian, Majistret, Illi Marisqa Khalizan, Nurul Izzah Shaharuddin, Fatin Dayana Jalil dan Noor Elynna Hanim Abd Halim mengeluarkan perintah itu selepas Norjuma gagal hadir ke prosiding yang bermula jam 9 pagi.

Malah sehingga jam 1 petang, kelibat usahawan berusia 44 tahun itu tetap tidak muncul meskipun kesnya dipanggil beberapa kali.

Ini menyebabkan mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 26, 29 dan 30 Julai serta 2 Ogos depan.

Sebelum ini, kelibat bekas personaliti televisyen itu dilihat mengenakan pakaian serba hitam, berada di lobi mahkamah pada jam 10.30 pagi.

Malah dia dikatakan sempat melemparkan senyuman serta melambai ke arah jurugambar yang menanti sejak awal pagi.

Bagaimanapun, dia berpatah balik ke tempat letak kenderaan, dipercayai bagi mengalihkan keretanya dan tidak memasuki mahkamah sehingga prosiding tamat.

Kes-kes melibatkan Norjuma

  • Pada 25 April lalu, wanita itu didakwa atas pertuduhan pertama, menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Afiq Ismail di premis perniagaan di Menara Atlan, Jalan Ampang pada jam 8.43 malam, 21 Februari 2017.
  • Mengikut pertuduhan kedua, dia didakwa menyebabkan kecederaan dengan menendang betis kaki kiri seorang pengawal keselamatan lelaki warga Nepal, Neupane Tika Ram di pusat tuisyen di Plaza Batai Bukit Damansara pada jam 3 petang, 29 Mac 2018.
  • Bagi pertuduhan ketiga, dia dituduh menyebabkan kecederaan dengan cara menampar pipi dan mencakar tangan Nur Solehah Rosli, 31, di sebuah kondominium di Wangsa Maju pada jam 10.30 pagi, 18 Oktober 2021.

Tiga pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda mencecah RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi dua lagi kes mengkhianat, Norjuma didakwa merosakkan palang keluar masuk kenderaan dan CCTV milik sebuah kondominium.

Anggaran kerugian berjumlah RM4,700 di Taman U-Thant dan kejadian berlaku pada jam 7.44 dan 7.45 malam, 28 Julai 2023.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R Harvind, Hamizah Hisan dan Sheryn Yong Shi Yee bersama Pegawai Pendakwa, Inspektor Shazwan Hasifi Shahrun.

Baca juga: Salah pilih kawan, remaja bakar kucing mengaku salah, dikenakan bon kelakuan baik selama 1 tahun