Pernah mencipta fenomena beberapa tahun lalu gara-gara mengusahakan perniagaan ‘Pisang Goreng Cheese’ sehingga tular, Adib Aidil, 25, kini dilaporkan sudah pun berjaya mencapai impiannya sebagai seorang juruterbang.
Pernah tular dengan trademark “biasa, maksudnya?”, Adib dikatakan sudah bergelar juruterbang bagi sebuah syarikat penerbangan tempatan.
Perkara tersebut disahkan apabila beberapa rakaman video memaparkan seorang wanita yang juga juruterbang dikenali sebagai Anaqah Ismail memuat naik momen bersama Adib ketika bertugas di awan biru.
Berdasarkan video berdurasi tujuh saat, wanita terbabit yang juga rakan sekerja pempengaruh itu dilihat mengusik pempengaruh berusia 25 tahun dengan trademark biasanya.
“Maaf, Encik. Adakah kamu tahu cara bercakap seperti ‘biasa’,”usiknya.
Dalam ruangan kapsyen hantaran tersebut, Anaqah yang juga juruterbang berseloroh dengan mengatakan dia tidak mendapat pisang goreng ‘cheese’ dan terpaksa pergi ke Kajang untuk mendapatkan ia.
“Biasa? Biasa maksudnya? Terbang bersama abang pisang cheese tetapi tidak mendapat apa-apa pada hari ini. Mungkin saya perlu pergi ke Kajang (mengeluh),” tulisnya dalam nada seloroh.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata warganet tumpang gembira dan meluahkan rasa senang melihat usahawan pisang goreng itu berjaya mencapai cita-cita yang diidamkannya sejak kecil lagi.
Sebelum ini, bekas pelajar Akademi Penerbangan Malaysia itu menyatakan dia masih menanti tawaran untuk menjadi juruterbang selepas dua tahun menanti susulan industri berkenaan terkesan dengan Covid-19.
Disebabkan itu, dia memulakan perniagaan Banana Dibs selepas menamatkan pengajian di Melaka pada Ogos 2020 dengan berbekalkan sebanyak RM500 yang diperuntukkan oleh kerajaan pada ketika itu.
Baca juga: Ini 7 tip nak basuh baju sekolah anak guna bahan di rumah, nombor 5 paling tak sangka!