Malaysia Dateline

Dulu kata tak kenal, akhirnya persoalan terjawab lepas Syihan sah sertai JDT

Pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini pernah berseloroh mengatakan tidak kenal pemain bernama Syihan dalam satu artikel yang dimuat naik 29 November lalu.

“Siapa Syihan. Saya tidak kenal,” kata Tunku Ismail secara berseloroh.

Namun hari ini, penjaga gawang Negeri Sembilan FC, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed sah menyertai pasukan JDT apabila beredar klip video yang dimuat naik di laman rasmi Johor Southern Tigers.

Video tersebut memaparkan Syihan memasuki perkarangan Stadium Sultan Ibrahim yang terletak di Iskandar Puteri dengan menaiki limousin.

Bekas penjaga gol Negeri Sembilan itu dilihat menuju ke bilik persalinan sambil memerhati jersi bernombor 33 sebelum masuk ke stadium dan menuju ke gawang gol.

Seorang pengguna media sosial Twitter yang menggunakan nama Hanjo meluahkan rasa tidak puas hatinya dengan berkongsi hadis mengenai orang yang tidak berkata jujur.

“Daripada Abi Hurairah RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Tanda-tanda orang munafik ada tiga iaitu apabila dia bercakap dia berdusta dan apabila dia berjanji dia memungkiri dan apabila dia diberi amanah dia telah mengkhianati.” komennya.

Pengguna bernama Nasrul Iman pula meninggalkan komen yang menghibur hati pembaca mengenai berita pembelian pemain itu.

“Tak kenal maka tak cinta, dah kenal terus beli.”

Pada masa sama, pengguna akaun Twitter @jaiyen_nakal mengingatkan pemilik ciapan untuk tidak terasa kerana Tunku Ismail sebelum ini juga mengaku tidak mengenali Ketua jurulatih skuad bola kebangsaan.

Korang jangan nak bitter. Kim Pan Gon pun Tunku Ismail tak kenal tahu tak,” katanya.

Baca juga: Hannah Yeoh dipuji menteri paling ‘function’ susulan tindakan tegas batal lesen jurulatih bola tampar