Malaysia Dateline

Dulu ketika pejabat Tabung Haji ditutup, Guan Eng yang bantu selesaikan

Ketika Umno dan Pas rancak berkempen Islam dan Melayu sedang terancam di negara ini pertengahan tahun 2020 lalu, dengan tidak semena-mena Tabung Haji menutup pejabat cawangannya di Butterworth, Pulau Pinang.

Akibatnya, serangan terhadap kerajaan PH memuncak ketika itu, dan orang yang paling menjadi mangsa dengan situasi itu adalah Lim Guan Eng, Menteri Kewangan ketika yang juga Ahli Parlimen Bagan, kawasan di mana terletaknya pejabat cawangan Tabung Haji itu.

Ia masih menjadi ingatan kepada rakyat negara ini bagaimana isu itu memanaskan politik tanah air dan DAP menjadi punching bag kepada Umno dan Pas menerusi mujahid siber mereka.

“Saya masih ingat bagaimana dengan tiba-tiba pejabat Tabung Haji kawasan kami ditup ketika itu dan wakil rakyat kami yang jadi mangsa,” kata Haji Ahmad Kamal kepada Malaysia Dateline.

Namun, katanya, selepas usaha berterusan dibuat oleh Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, akhirnya Tabung Haji membuka semula pejabatnya yang ditutup di Butterworth pada Jun 2020 lalu.

Menurut Lim Guan Eng ketika, lebih 100 aduan diterima oleh beliau mengenainya dan sejak 25 Jun 2020 lagi beliau telah memulakan usaha agar pejabat itu dibuka semula dengan menulis surat kepada Tabung Haji.

Ketika pentadbiran PH, selain isu penutupan pejabat Tabung Haji itu, banyak lagi isu perkauman sengaja di hangat-hangatkan di seluruh negara seperti isu tulisan Jawi, pemandu mabuk, UEC, kematian Adib dan tidak dilupa perjuangan RUU 355.

Oleh kerana propaganda dan permainan isu ini “bijak” diatur, ramai rakyat yang “termakan” umpan, namun akhirnya setelah setahun pentadbiran PN yang kononnya akan membela dan memperkukuh agenda majoiti rakyat di Malaysia, ramai patah hati.

Pejabat Tabung Haji yang terletak di Butterworth dalam Parlimen Bagan itu ditutup pada Jun 2020.

Bagi mereka yang matanya boleh melihat, penutupan itu tidak mungkin hanya satu kebetulan kerana ia terletak dalam kawasan ahli Parlimen Bagan yang diwakili oleh Lim Guan Eng.

“Hakikatnya, semasa pentadbiran PH, tiada sebarang cadangan untuk menutup pejabat tersebut,” jelas Guan Eng dalam satu hantaran di Facebook-nya pada 20 Ogos 2020.

Ketika penyokong Umno dan Pas berkata mahu perkukuh agenda Melayu dan Islam, tetapi yang nyata penutupan tanpa sebab pejabat TH itu menyukarkan pendeposit TH di Butterworth dan di sekitarnya apabila mereka terpaksa pergi ke Kepala Batas atau tempat lain untuk mendapat kemudahan perkhidmatan.

Ahli Parlimen DAP bela nasib Muslim di Butterworth

Menurut Guan Eng, lebih daripada 100 orang Muslim di Bagan menulis surat aduan tentang isu ini dan meminta bantuannya untuk memohon kepada Lembaga Tabung Haji agar pejabat di Butterworth itu dibuka semula.

Pada bulan sama, 25 Jun 2020, Guan Eng pantas menulis surat kepada Lembaga Tabung Haji untuk membantah penutupan Pejabat Tabung Haji di Butterworth dan memohon agar pejabat itu dibuka semula.

Kemudian, pada 17 Ogos 2020, Setiausaha Agung DAP itu juga telah membangkitkan isu ini di Parlimen bagi memastikan aduan penduduk Bagan didengari semua barisan Menteri termasuk YAB Perdana Menteri.

Akhirnya, pada 1 September 2020 ahli Parlimen Bagan memuat naik satu hantaran di FB dengan berita baik kepada masyarakat Muslim di kawasan Bagan dan sekitarnya bahawa pejabat Tabung Haji dibuka semula di Bagan.

Sehingga kini, pejabat TH Butterworth yang tiba-tiba ditutup tanpa sebarang alasan dan menyukarkan para pendeposit TH, telah beroperasi semula dan ramai penduduk di Parlimen Bagan menyatakan syukur dan terima kasih atas usaha Guan Eng memperjuang masalah mereka.

Pembukaan semula pejabat ini melegakan pendeposit dan pelanggan Tabung Haji di Butterworth.

Razak Samsudin antaranya telah memberi komen pada hantaran FB Guan Eng tersebut, “Terima kasih YB kerana menyuarakan kesusahan rakyat. Akhirnya sekarang pejabat TH itu dibuka semula, Alhamdullillah, tak perlu lagi nak pi Kepala Batas yang jauh untuk berurusan. Sekali lagi terima kasih YB.”

Seorang lagi pengguna FB, Nia Firdani berkata, “Malu dgn pemimpin-pemimpin Melayu kita. LGE pula yang jadi hero selesaikan masalah orang islam. Terima kasih YB. Terbaik.”

Isu ini barangkali dianggap kecil kerana berkaitan penduduk di Parlimen Bagan sahaja dan oleh kerana itu ia tidak mendapat perhatian selayaknya.

Namun, ia membawa satu mesej besar bahawa ahli Parlimen DAP yang selalunya dilempar dengan tuduhan anti-Melayu, anti-Islam dan sebagainya, menjadi individu yang memperjuang masalah masyarakat Muslim di kawasannya.