“Dulu mak selalu layan aku acuh tak acuh lepas kerja swasta terus layanan berubah 360 darjah…”

Oleh MAISARAH AISYA

Anak mana sahaja yang tidak kecewa jika mendapat layanan berbeza daripada ibu bapa hingga terasa tersisih.

Namun bila ada duit dan bergaji sedikit terus ibu bapa menempel seolah-olah tidak pernah memberi layanan berbeza.

Seorang individu Aya (bukan nama sebenar) terkejut apabila si mak yang sebelum ini tidak mempedulikan dirinya kini memberi perhatian penuh buatnya.

Di bawah adalah luahan tersebut.

Nama aku Aya. Aku anak kedua daripada lima beradik. Aku tak tahu nak luahkan dekat siapa.

Aku ni bekerja di sektor swasta. Gaji aku pun gaji minimum je. Tapi aku ada buat side income sikit. Dapatlah buat tambah-tambah.

Gaji habis dekat keluarga

Apa yang aku nak ceritakan dekat sini, gaji aku banyak aku habiskan untuk belanja keluarga aku. Antara adik beradik aku yang lain, mak aku memang selalu harapkan aku.

Baju raya mereka setiap tahun aku yang akan beli. Dan aku tak kisah pun sebenarnya. Aku lagi seronok. Sekurang-kurangnya aku dapat bantu keluarga aku.

Cuma sekarang aku sedar yang keluarga aku buat baik dengan aku sebab duit aku je.

Aku masih ingat tiap kali hari jadi adik-beradik aku yang lain, mak aku mesti sibuk fikirkan nak beli sesuatu untuk mereka.

Contohnya macam hadiah dan kek. Kadang-kadang dia minta aku belikan tapi bila tiba hari lahir aku, mak tak buat apa-apa. Aku bukanlah mengharapkan hadiah yang mahal.

Aku juga perasan bila mak aku minta sesuatu pada aku, kalau aku tak dapat belikan dia akan merajuk dengan aku.

Aku tak sampai hati nak tolak bila dia minta belikan apa-apa jadi aku turutkan. Tapi aku pun nak beli keinginan aku. Nak simpan duit juga.

FIkir dua tiga kali sebelum beli barang sendiri

Orang luar memang nampak aku macam banyak duit tapi mereka tak tahu yang aku terpaksa fikir berkali-kali nak beli barang yang aku nak.

Aku tahu rezeki aku makin bertambah bila aku banyak keluarkan duit untuk keluarga aku tapi aku nak sangat diorang pun faham keadaan aku. Aku sedih sangat.

Waktu menulis ni pun aku rasa nak menangis. Aku tak ada tempat untuk luahkan apa yang aku rasa.

Kalau betul mak aku cuma layan aku baik-baik sebab aku ada duit, aku kecewa sangat.

Aku usaha keras cari duit sebab nak buat dia bangga. Nak buat keluarga aku hidup senang. Tapi kalau diorang tak pandai nak menghargai, sumpah aku kecewa!

Kadang-kadang aku terfikir, kalau suatu hari nanti aku tak ada. Macam mana dengan keluarga aku?

Adakah mereka akan bersedih kehilangan aku? Atau bersedih sebab tiada lagi yang keluarkan duit untuk mereka?

Doakan aku dimurahkan rezeki lagi supaya aku dapat bantu keluarga aku. Doakan aku menjadi seorang yang ikhlas juga ya.

Baca juga: “Kalau tahu nafkah dari suami akan terjun ke laut dalam, aku tak nikah dengan duda”